Kita bukan kerajaan diktator- Najib
Rahimah Abdullah
Februari 27, 2016 11:59 MYT
Februari 27, 2016 11:59 MYT
Kita (Barisan Nasional) bukanlah kerajaan bersifat kuku besi dan diktator, tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Jelasnya, ia selaras dengan demokrasi berparlimen yang mengutamakan kestabilan politik.
"Kita bukan kerajaan kuku besi dan mengamalkan dictatorship. Kita adalah kerajaan yang menyanjung tinggi prinsip demokrasi berparlimen di mana setiap lima tahun kita akan kembalikan kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang dikehendaki," katanya semasa berucap merasmikan Kompleks Muhibbah di PPR Muhibbah di sini hari ini.
Pada masa sama beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional menegaskan dakwaan sesetengah pihak bahawa kerajaan akan tumbang adalah meleset.
"Sesiapa yang uar-uarkan kerajaan tumbang itu meleset. Apa yang boleh saya katakan Belanjawan lalu diluluskan parlimen dengan majoriti yang besar, begitu juga dengan rang undang-undang negara boleh diluluskan parlimen. Maknanya kita tidak bimbang dari segi kestabilan politik ," kata Najib.
Jelas beliau perkara itu adalah antara empat perkara yang diutamakan dalam konsep pembangunan kerajaan.
Selain itu katanya, kerajaan juga mengutamakan pengurusan ekonomi negara dengan cekap dan berhemah.
"Kita tidak akan tahu apa akan berlaku kepada ekonomi dunia. Kita tidak akan terlepas daripada kesan perkembangan ekonomi dunia seperti krisis kewangan 1997 dan 1998. Kita semua menerima kesan parah masa itu kerana kita mempunyai ekonomi yang terbuka.
Pada masa sama tegas Najib, kemelesetan ekonomi yang pernah dilalui Malaysia sebelum ini menyebabkan negara turut mengalami kesan-kesan tertentu.
Malah, hari ini Malaysia berdepan dengan persekitaran luar yang membawa kesan kepada ekonomi negara umpamanya harga minyak.
"Kita telah buat perkiraan, bagi setiap dolar Amerika harga minyak jatuh, hasil negara berkurangan sebanyak RM450 juta for each dollar. Maknanya setiap dolar Amerika, satu tong harga minyak menurun, hasil kerajaan berkurangan RM450 juta," jelas Perdana Menteri lagi.
Najib berkata, keadaan itu berbeza dengan tahun lalu yang menyaksikan harga minyak berada paras AS$110 setong.
"Hari ini harga minyak jatuh dengan begitu ketara iaitu antara 32 hingga 34 dolar setong. Bayangkan berapa bilion hasil negara terpaksa kita kehilangannya kesan kejatuhan harga minyak?"
Bagaimanapun, beliau bersyukur kerana kerajaan masih mampu mentadbir ekonomi negara dengan baik.
"Baru-baru ini, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) telah memberikan sijil pengakuan yang positif kepada pengurusan ekonomi negara. Fitch juga memberikan penarafan stabil dan makna kita telah mendapat penarafan antarabangsa," katanya lagi.
Justeru katanya, jika ada mana-mana pihak yang mengatakan kerajaan tidak menguruskan ekonomi dengan baik, mereka disifatkan hanya bermotifkan politik semata.
"Mereka berniat tidak baik tetapi agensi-agensi antarabangsa telah membuat kesimpulan bahawa dalam keadaan luaran ekonomi tidak menentu, kita masih dapat raih ekonomi yang baik," katanya.