"Kita belum gagal, namun masih belum menang"- Dr Noor Hisham

Astro Awani
Mei 8, 2021 20:48 MYT
Dr Noor Hisham berkata, masih belum terlambat untuk negara mengurangkan jangkitan kes, asalkan mendapat kerjasama semua rakyat Malaysia. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham menegaskan, Malaysia belum gagal dalam menangani jangkitan COVID-19, namun masih juga belum menang melawan pandemik itu.
Beliau berkata, masih belum terlambat untuk negara mengurangkan jangkitan kes, asalkan mendapat kerjasama semua rakyat Malaysia.
"Kita masih belum terlambat. Ada sesetengah (pihak) yang mengatakan kita gagal. Kita belum gagal namun kita masih belum menang," katanya dalam sidang media di Putrajaya pada Sabtu.
BACA: COVID-19: Malaysia catat 4,519 kes baharu, 25 kematian
Justeru, beliau mengingatkan semua rakyat Malaysia mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.
"Kita tidak takut, kita akan terus lawan untuk 16 bulan. Jadi kita harap kita akan dapat mengurangkan jangkitan apabila tiba masanya. Kita perlukan kerjasama semua pihak. Patuh SOP ditetapkan," ujarnya.
Jelasnya, negara perlu seimbangkan antara kepentingan kesihatan dengan ekonomi dan perkara itu bukan suatu yang mudah.
"Sebagai contoh restoran. Kita boleh benarkan restoran beroperasi namun secara bawa pulang dan dengan ini kita boleh kurangkan jangkitan.
"Bagi sektor peruncitan, kita perlu lihat di pusat beli belah dan sebagainya. Kita benarkan sektor yang perlu seperti makanan, farmasi, klinik dan restoran tetapi tidak boleh dine-in," tambahnya.
Justeru, negara perlu mencari inisiatif lain termasuk melihat semula pelaksanaan arahan Bekerja Dari Rumah untuk mengurangkan jangkitan.
#Dr Noor Hisham Abdullah #malaysia belum gagal #negara belum gagal #penularan COVID-19 #belum menang #SOP #rakyat Malaysia #belum terlambat
;