Kita ahli politik tidak perlu fikir macam Rais Yatim fikir - Mahdzir
Rahimah Abdullah
Mac 23, 2018 15:18 MYT
Mac 23, 2018 15:18 MYT
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid menyifatkan identiti pakar bahasa yang dipegang
Tan Sri Rais Yatim menyebabkan takrifan 'berita palsu' oleh Penasihat Sosiobudaya Kerajaan Menteri itu berbeza dengan pemahaman orang politik.
Jelasnya, ketika ini kerajaan telah memahami takrifan berita palsu berkenaan dan membolehkan Rang Undang-Undang Anti Berita Tidak Benar dibentangkan di Parlimen.
"Tan Sri Rais adalah ahli bahasa. Jadi, dia banyak nak kena fikir. Jadi kita orang politik yang sedang memerintah negara ini tidak perlu fikir macam yang dia fikir.
"Kita rasa sekarang ini kita sudah dapat apa takrifan berita palsu," katanya selepas merasmikan 'Gerakan Massa Terima Kasih Cikgu 2018' di sini, hari ini.
Jelasnya, sekarang adalah masa yang sesuai untuk kerajaan membentangkan rang undang-undang berkenaan di parlimen.
"Makin kita tunggu, makin banyak benda yang berlaku. Kita tidak perlu ambil jauh, dalam Kementerian Pendidikan seperti cuti dua hari di Selangor dan Wilayah Persekutuan. Pagi itu cakap dua hari, tetapi petang nanti ada satu lagi surat kononnya KPM tambah satu hari lagi cuti. Malam itu, KSU, kementerian perlu buat kenyataan petang itu salah. Itulah contohnya," ujar beliau.
Beliau menyokong penggubalan rang undang-undang mengekang berita palsu berkenaan kerana ia bukan hanya melibatkan isu politik, sebaliknya turut melibatkan perkara yang menjejaskan masyarakat.
"Kita sebut kita masyarakat sivil tetapi berita macam ini sampai atau tidak ke tahap pemikiran kita itu? Kalau berita palsu masih banyak, maka ia tidak selaras dengan standar yang sepatutnya," kata Mahdzir.
Pada Selasa, Rais mencadangkan kerajaan agar tidak tergesa-gesa untuk menggubal undang-undang bagi menangani berita palsu.
Ia berikutan istilah berita palsu masih menjadi perbincangan dan belum ada takrifan jelas mengenainya.
Kabinet pada Rabu meluluskan RUU Anti Berita Tidak Benar dan akan dibentangkan Dewan Rakyat pada minggu depan.
#Dewan Rakyat
#GERAKAN
#kabinet
#Kementerian Pendidikan
#kerajaan
#Mahdzir Khalid
#Media
#menteri
#Parlimen
#pendidikan
#politik
#Rais Yatim
#rakyat
#undang-undang