KITA 2024: Platform integriti Sabah diperhebatkan

Kenyataan Media
Oktober 9, 2024 17:15 MYT
Bee Kean berkata, KITA 2024 akan menghimpunkan 2,000 peserta, termasuk pengurusan tertinggi Syarikat Berkepentingan Kerajaan (SBK) Persekutuan dan Negeri Sabah.
“USAHA Memperkasakan Integriti, Tatakelola Dan Antirasuah - Tanggungjawab Bersama”
Sebagai bukti komitmen Sabah dalam memperkukuhkan agenda integriti dan memerangi rasuah, negeri ini akan menganjurkan Konvensyen Integriti, Tadbir Urus dan Antirasuah (KITA) 2024 pada 14 Oktober.
Konvensyen ini, yang merupakan anjuran kali kedua dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dijangka menjadi acara tahunan kebanggaan Sabah dalam memperkasakan integriti, khususnya dalam kalangan penjawat awam dan swasta.
Bertemakan “Integriti Lestari Asas Kejayaan Madani”, KITA 2024 akan menghimpunkan 2,000 peserta, termasuk Pengurusan Tertinggi, Ketua Pegawai Integriti dan Governans (CIGO), serta Pegawai Integriti daripada Syarikat Berkepentingan Kerajaan (SBK) Persekutuan dan Negeri Sabah.
Ia bertujuan meningkatkan kemahiran dan keunggulan sahsiah, serta mewujudkan sinergi antara organisasi bagi memaksimumkan sumber dan idea dalam usaha pemantapan integriti dan tadbir urus.
Acara ini akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu, dan akan dirasmikan oleh Ketua Menteri Sabah bersama Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.
Dengan inisiatif seperti KITA 2024, diharapkan objektif pengukuhan integriti dan pembudayaan nilai antirasuah dapat dicapai, selain menjadi platform untuk percambahan idea dan pembelajaran bagi Ketua-Ketua Unit Integriti dan Governans.
Komitmen Kerajaan Terhadap Pencegahan Rasuah
Program KITA 2024 adalah salah satu inisiatif untuk melaksanakan misi dan visi kerajaan dalam memerangi rasuah, meningkatkan integriti, dan memperkasa tadbir urus pentadbiran.
Peluncuran Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 pada 29 Januari 2019 yang mengandungi 111 inisiatif antirasuah telah menyasarkan enam sektor utama: tadbir urus politik, perolehan awam, penguatkuasaan undang-undang, pentadbiran sektor awam, perundangan dan kehakiman serta tadbir urus korporat. Pelan ini berjaya melaksanakan 85 inisiatif sepanjang tempoh lima tahun pelaksanaannya.
Sebagai kesinambungan kepada NACP, kerajaan telah memperkenalkan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 pada 7 Mei lalu, yang diluncurkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
NACS kali ini memberi tumpuan kepada kesejahteraan rakyat melalui agenda Malaysia MADANI, serta menyediakan hala tuju yang jelas dalam membanteras rasuah di setiap peringkat.
Dalam usaha mencapai kedudukan Malaysia di tangga ke-25 teratas dunia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI), Pasukan Petugas Khas CPI yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, dan dianggotai oleh Ketua-ketua Setiausaha Kementerian yang berkaitan, jabatan dan agensi kerajaan serta barisan pakar daripada sektor swasta, media dan pensyarah yang bersidang pada 3 Oktober 2024 menekankan usaha meningkatkan CPI menjadi tanggungjawab semua pihak dan bukan di bawah SPRM semata-mata.
Beliau telah mengambil inisiatif menggalakkan semua pihak, termasuk sektor awam dan swasta, untuk memainkan peranan dalam meningkatkan imej negara, terutama aspek berkaitan integriti, tatakelola dan pencegahan rasuah.
Susulan itu, Mesyuarat Pasukan Petugas Khas CPI juga telah menubuhkan Focus Group yang dianggotai oleh agensi awam, swasta, dewan perniagaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) adalah untuk melaksanakan tindakan-tindakan berhubung usaha-usaha penambahbaikan CPI mengikut bidang keutamaan masing-masing.
Penglibatan Sektor Swasta dan SBK
Bagi menggalakkan penglibatan daripada sektor swasta dan Syarikat Berkepentingan Kerajaan (SBK) dalam usaha mencegah rasuah bersama SPRM secara langsung, kerajaan telah meluluskan potongan cukai di bawah Seksyen 34(6)(h) Akta Cukai Pendapatan 1967.
Berdasarkan peruntukan ini, syarikat atau penyumbang layak memohon potongan cukai daripada pendapatan kasar perniagaan satu amaun bersamaan dengan amaun perbelanjaan yang dibuat.
Komitmen kerajaan ini diperluaskan lagi di dalam Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (National Anti-Corruption Strategy (NACS)) 2024 - 2028, di mana di bawah strategi 5 - Insentif NACS, kerajaan akan memberikan rebat cukai bagi individu dan syarikat yang mengambil bahagian dan menyumbang dalam program pencegahan rasuah anjuran pertubuhan masyarakat sivil yang diiktiraf oleh SPRM.
Penubuhan Unit Integriti (UI) di agensi awam serta Unit Integriti dan Governans (IGU) di SBK juga memainkan peranan penting dalam membendung salah laku jenayah dan pelanggaran etika. Peranan Ketua Agensi dan Pengurusan Tertinggi SBK sangat penting dalam membudayakan integriti dan memberi teladan kepada warga kerja mereka.
Kesemua inisiatif ini, termasuk penganjuran KITA 2024, diharapkan dapat mencapai objektif dan menjadi platform percambahan pemikiran serta pembelajaran kepada pemegang taruh serta bertujuan untuk memastikan usaha pencegahan rasuah, pengukuhan tadbir urus, dan pembudayaan integriti dilaksanakan secara berkesan, membawa impak positif kepada organisasi dan seterusnya kepada negara.
Timbalan Pesuruhjaya Lim Bee Kean
Pengarah Bahagian Pengurusan Integriti Agensi
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
#SPRM #KITA 2024 #Sabah #usaha perangi rasuah
;