Kit ujian kendiri COVID: 34 kes dijual melebihi harga ditetapkan
Bernama
September 18, 2021 15:56 MYT
September 18, 2021 15:56 MYT
KUALA BERANG: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merekodkan 34 kes peniaga dan pengusaha farmasi menjual kit ujian kendiri COVID-19 melebihi harga ditetapkan.
Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, kesalahan itu dikesan hasil pemeriksaan dijalankan pegawai penguat kuasa KPDNHEP terhadap lebih 1,800 premis sejak 5 September hingga semalam di seluruh negara.
"Hanya satu kes dikenakan kompaun RM250 mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011. Jumlah kesalahan yang dikesan ini tidak begitu membimbangkan.
"Pemeriksaan juga mendapati 185 peniaga dan pengusaha farmasi menjual di bawah harga kawalan, manakala 1,552 lagi menjual mengikut harga kawalan ditetapkan. Secara keseluruhan peniaga memberi kerjasama baik dalam mematuhi harga kawalan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau proses vaksinasi penduduk Hulu Terengganu di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Akademi Binaan Malaysia Wilayah Timur, Jenagor, di sini hari ini.
Bermula 5 September lepas, KPDNHEP menetapkan harga runcit maksimum bagi setiap set kit ujian kendiri COVID-19 pada harga RM19.90, manakala harga borong pula ditetapkan RM16.
Dalam pada itu, ditanya mengenai kenaikan harga ikan di seluruh negara, Rosol berkata beliau telah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bagi mengeluarkan stok ikan sejuk beku Q'Fish di pasaran dalam masa terdekat.
"Memang kami dapat aduan dalam Facebook daripada pegawai dan secara terus kepada saya mengenai kenaikan ini, ikan selar dijual RM16 sekilogram, manakala ikan kembung pula hingga RM22 sekilogram. Ikan Q'Fish boleh menjadi alternatif kepada pengguna.
"Cuma masyarakat perlu dididik menangkis persepsi tidak tepat mengenai ikan Q'Fish ini kononnya ia tidak segar seperti yang dijual di pasar, sedangkan tidak benar kerana ia adalah ikan segar dari laut yang terus dibekukan," katanya.
Q'Fish ialah ikan segar berkualiti yang disejukbekukan oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sekiranya berlaku lebihan. Ia juga dijual dengan harga lebih murah kepada pengguna bagi memastikan bekalan tidak terjejas.
-- BERNAMA