Kit Siang gembira kembali ke Dewan Rakyat, gesa siasatan 1MDB diteruskan

Harits Asyraf Hasnan
Mei 16, 2016 11:41 MYT
Lim digantung (gambar) susulan kegagalan memohon maaf dan menarik balik kenyataan yang dibuatnya terhadap YDP Dewan Rakyat. - Gambar fail
Anggota Parlimen DAP Lim Kit Siang melahirkan rasa gembira apabila beliau kembali ke Dewan Rakyat setelah digantung enam bulan bermula Oktober tahun lalu.
Anggota Parlimen Gelang Patah itu disambut wakil rakyat DAP di pintu masuk Dewan Rakyat pagi ini dengan kain rentang yang bertulis 'Selamat kembali Lim Kit Siang. Pantang berundur'.
Lim yang juga penasihat DAP, pada masa sama menggesa Parlimen supaya meneruskan penyiasatan berkenaan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
"Saya sangat gembira dapat kembali semula selepas tidak hadir selama enam bulan.
"Gembira, tapi saya harap dapat mendengar jawapan daripada Perdana Menteri dan Parlimen dapat melakukan tugasnya untuk membuat gesaan tentang skandal 1MDB.
"Jangan benarkan pihak lain untuk lakukan perkara itu yang mana ia sepatutnya dilakukan oleh Parlimen dan pihak berkuasa Malaysia," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen.
Usul menggantung Kit Siang dikemukakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said pada 21 Oktober tahun lalu.
Ia susulan kegagalan Kit Siang memohon maaf dan menarik balik kenyataan yang dibuatnya terhadap Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia pada 19 Oktober lalu.
Kit Siang mendakwa Pandikar menyalahgunakan kuasanya dan mensabotaj siasatan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) ke atas 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
#1Malaysia Development Berha #1MDB #Dewan Rakyat #Lim Kit Siang #Parlimen #Penasihat DAP
;