Kisah Yaacob Daud: Sudahlah perut ditembak, kaki terpijak jerangkap samar pula

Bernama
Ogos 29, 2021 14:12 MYT
Yaacob Daud, 74, dibantu anak sulungnya, Fadhilah Yaacob, 51, semasa memakai kaki palsu ketika ditemui di kediamannya di Kampung Bukit Kecik, Melor di sini hari ini. - Bernama
KOTA BHARU: Masih segar dalam ingatan bekas anggota Pasukan Polis Hutan (PPH) Lans Koperal (B) Yaacob Daud, 74, apabila kaki kanannya terpaksa dipotong hingga bawah paras lutut akibat terpijak jerangkap samar pada 31 Disember 1977.
Yaacob berkata segalanya bermula ketika beliau terbabit dalam Op Kota Echo di Perak bersama satu batalion disertai 32 anggota PPH bagi menjejaki Komunis pada waktu itu.
"Pada kira-kira 10 pagi, saya bersama tiga anggota ditugaskan meninjau di sekitar kawasan Sungai Bedil bagi tujuan memasang khemah untuk bermalam di situ sebelum meneruskan perjalanan menjejaki Komunis.
"Bagaimanapun, saya yang berada di kedudukan paling hadapan telah ditembak di bahagian kiri perut oleh Komunis yang berada di atas bukit, yang mengesan kehadiran kami," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Bukit Kecik, Melor di sini hari ini.
Yaacob yang juga dikenali sebagai 'Polis Jali' oleh penduduk setempat berkata sejurus perutnya ditembak dan dalam keadaan suasana kelam-kabut itu, kaki kanannya telah terpijak jerangkap samar ditanam musuh lalu menyebabkan badannya terpelanting sekali gus mengakibatkan sebahagian kaki kanannya hancur serta putus.
Menurut Yaacob, kecederaan dialami beliau dilaporkan pegawai penyiasat batalion pada kira-kira 12 tengah hari sebelum diterbangkan segera ke Hospital Ipoh untuk rawatan.
"Doktor segera melakukan pembedahan dan disebabkan kecederaan teruk itu, sebelah kaki (kanan) saya terpaksa dipotong hingga paras bawah lutut bagi membuang serpihan tulang selain mengelak jangkitan kuman.
"Saya dirawat di hospital selama dua bulan dan kemudian pulang ke rumah selepas mendapat kaki palsu," katanya dengan menambah dibantu isteri, Nafishah Awang Teh, 71, sepanjang pemulihan kaki.
Bapa kepada tujuh anak dan bersara daripada PPH pada 2002 itu berkata, beliau menyertai pelbagai operasi sebelum kejadian itu dan kemudian terlibat dengan kerja pengurusan sahaja selepas kecacatan dialami.
"Saya menerima takdir bergelar orang kurang upaya (OKU) namun sebagai seorang yang berkhidmat dalam PPH, saya tidak menyesal sedikit pun kerana apa yang dilakukan ini adalah rasa cinta mendalam terhadap tanah air.
"Saya berpuas hati dengan pengorbanan ini kerana ketika itu pasukan kami mahu memastikan negara bebas daripada cengkaman pengganas komunis. Generasi muda hargailah kemerdekaan negara," katanya.
-- BERNAMA
#polis hutan #jerangkap samar #yaacob daud #Hari Kebangsaan
;