Kisah tragis abang bomba tiada tempurung kepala
Sinar Harian
Ogos 29, 2018 20:55 MYT
Ogos 29, 2018 20:55 MYT
Tiada siapa menduga, kehidupan seorang anggota bomba berubah 360 darjah setelah terlibat dalam kemalangan jalan raya pada 6 Julai 2018.
Abdul Manan Anyut, 30 tahun, bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Tebrau, kehilangan separuh tempurung kepala akibat kemalangan yang hampir meragut nyawanya.
Kisah tragis Abdul Manan dikongsi tunangnya, Fatin Nur Affira Yusof, 27 tahun, menerusi entri laman sosial di twitter @atengsepet hingga mendapat perhatian netizen.
Menerusi entri itu, gambar Abdul Manan mencuri perhatian apabila memperlihatkan separuh kepalanya tanpa tempurung hingga menimbulkan rasa simpati.
Kata Fatin, tunangnya itu terpaksa hidup tanpa tempurung selama enam bulan malah lebih kerana perlu menunggu keputusan dari hospital bagi menggantikan tempurung baharu.
Ketika ini, Abdul Manan mendapat cuti sakit selama tiga bulan sebelum memulakan tugas sebagai anggota bomba.
Mengimbau kisah itu, Fatin berkata, dia menelefon Abdul Manan pada malam kejadian namun dijawab oleh seorang wanita dipercayai doktor di Hospital Sultanah Aminah (HSA).
"Keadaan dia waktu itu agresif dan pihak hospital terpaksa mengikat kaki dan tangan. Malah paling menyedihkan, dia (Manan) hilang ingatan termasuk tidak kenal saya, rakan balai bomba dan keluarganya," katanya.
Akibat kemalangan itu, kepala Abdul Manan mengalami pendarahan teruk kerana hentakan kuat dan perlu melakukan pembedahan.
"Doktor memberitahu, tiada pilihan lain terpaksa membuang tempurung bagi mengurangkan tekanan kepada otak.
"Kami mahukan apa yang terbaik, asalkan dia pulih, itu sudah melegakan. Dan akhirnya pembedahan dilakukan dan syukur ia berjalan dengan lancar," katanya pembedahan mengambil masa enam jam.
Tambah Fatin, hampir seminggu ditempatkan di HSA, Abdul Manan dibenarkan pulang dan menerima rawatan susulan.
"Selepas empat hingga lima hari keluar hospital, saya membawa dia ke balai bomba tempatnya bekerja, ternyata dia masih mengingati tugasnya sebelum ini berbanding ketika di hospital dia memberitahu bekerja sebagai guru.
"Saya sangat gembira melihat perkembangan dia dan bersyukur ALLAH S.W.T. memberi peluang kedua untuk meneruskan kehidupan," katanya yang bertugas sebagai penyelam komersial.
Dalam pada itu, maklum balas netizen, memberi sokongan dan mendoakan kesejahteraan mereka malah turut menyatakan lelaki tersebut sangat bertuah kerana memiliki wanita yang setia meskipun berada dalam kesulitan.
Pengkongsian kisah cinta sejati itu telah mendapat 7,268 retweets dan 4,244 tanda suka dari netizen.
#Abdul Manan Anyut
#bomba
#Fatin Nur Affira Yusof
#Hospital Sultan Aminah
#HSA
#kemalangan
#kerjaya
#media sosial