Kisah sihir dalam kelambu

Astro Publication
Oktober 26, 2014 19:48 MYT
Ilmu sihir digunakan untuk menghilangkan perasaan kasih sayang antara suami isteri.

Umum mengetahui mengamalkan ilmu sihir hukumnya haram kerana menggunakan unsur jahat seperti iblis dan syaitan untuk menghancurkan kehidupan orang lain. Kajian juga mendapati ilmu dan amalan sihir adalah antara ilmu dan ritual tertua di dunia. Dalam rumahtangga pula, ia dilakukan bagi menghilangkan perasaan kasih sayang sekali gus memisahkan suami isteri, hilang kewarasan akal, menyebabkan penyakit sehingga membunuh tanpa perlu disentuh dan banyak lagi. Malah tidak menghairankan jika timbul dakwaan wujudnya penggunaan ilmu sihir yang akhirnya menyebabkan perceraian. Hukum tidak lagi dipandang asalkan hajat mereka dapat ditunaikan. Berikut antara realiti daripada kisah sahabat handai dan saudara terdekat Raden yang harus kalian teladani.

Realiti 1: Menantu VS mertua
Ceritaku bermula dengan perihal ibu mertua yang tidak merestui perkahwinan kami sejak mula lagi. Kata suami, “Mak mesti okey kalau dah ada cucu nanti.” Tetapi, selepas dikurniakan dua cahaya mata juga setiap usahaku untuk mengambil hatinya menemui jalan buntu. Berbeza layanannya terhadap menantu lain. Hubungan dengan suami juga berantakan. Tiada angin bertiup kencang, isu sekecil hama dibesar-besarkan sehingga membawa pertengkaran. Aku turutkan cadangan rakan bertemu Ustaz kerana akhir-akhir ini lain yang aku rasa. Rupa-rupanya Mak menghantar ‘sesuatu’ yang membuatkan aku dan suami tidak boleh bertemu mata.Ya, ibu mertuaku mendapatkan ‘sihir pemisah’ agar perkahwinan kami berakhir dengan perceraian. Sudah nasibku mungkin, kerana akhirnya aku diceraikan dengan talak tiga.

Tips Elak Sihir: Berwuduklah sebelum tidur. Menurut alim ulama, ia bertindak sebagai pendinding. Ia menangkis niat jahat makhluk halus yang cuba menyampaikan sihir ketika sedang tidur. Sembangraden

Realiti 2: IRIKAN ‘Power Couple’
Pada pandangan mata umum, kami sempurna serba-serbi. “Kerja hebat, sama cantik sama padan pula,” itu rumusan mereka. Natijahnya, perkahwinan yang baru berusia dua tahun ini nyata menguji kesabaran aku dan suami. Mulanya tidak mahu percaya ia tercetus dek ‘buatan orang’. Kerap kali ia berlaku terutamanya ketika ‘bersama’. Rasa meluat, benci dan marah kepada suami berpanjangan. Saranan ibu bapa kedua-dua belah pihak agar kami bertemu pakar perubatan Islam menoktahkan segalanya. Seakan tidak percaya, ia angkara bekas teman wanita suami! Dek kerana cintanya tidak berbalas, cemburu dan dendam kami menjadi mangsa. Mujurlah kini hubungan aku dan suami kembali pulih. Syukur juga kerana aku kini hamil dua bulan selepas lapan bulan peristiwa hitam itu berlalu.
Tips Elak Sihir: Baca ayat Kursi selepas solat. Susuli dengan tiga surah terakhir dalam Al Quran yakni tiga Qul, insya-Allah kamu dilindungi.

Realiti 3: Kisah ‘Nasi Kangkang’
“Siapa kata suami hidung belang tak boleh dijinakkan? Jumpa saja Pak Tua, dia boleh bantu,” ujar Nini yang sudah letih mendengar cerita perihal suamiku. Akhirnya aku akur pada pujukan dan cadangan Nini lantas berjumpa Pak Tua di Gombak. Segala prosedur untuk melakukan ritual ini aku turuti dengan teliti dan hasilnya amat memuaskan hati. Suamiku kini tidak lagi keluar malam dan tiada istilah mengejar perempuan selain patuh dan tunduk mengikut arahanku. “Kan aku dah cakap mujarab ‘nasi kangkang’ ni. Patutnya dari dulu kau dah buat,” ujar Nini yang melihat perubahan suamiku. Jauh di sudut hati, aku maklum dan memahami amalan nasi kangkang ini salah dan haram. Tetapi aku puas. Tak perlu lagi merisaui suami kerana semuanya di bawah telunjukku. Tetapi aku dalam dilema. Aduhai, alangkah berdosa!
Tips Elak Sihir: Setiap kali selepas solat, amalkan membaca ayat-ayat berikut: 117 hingga 122 (Surah Al-A’raf), ayat 81 hingga 82 (Surah Yunus) dan ayat 69 (Surah Thoha).

#ilmu sihir #ritual
;