Kisah penggali kubur: 'Kasihan, jenazah pesakit COVID-19 tidak boleh ditatap, dicium...'

Ridauddin Daud
Jun 1, 2021 17:00 MYT
Berbalutkan PPR, di bawah terik mentari, mereka terus gagah memastikan urusan pengebumian jenazah disempurnakan. - Gambar ASTRO AWANI
PETALING JAYA: Langit cerah, cuaca pula agak panas.
Suasana di Tanah Perkuburan Islam PJS4, Taman Medan, Petaling Jaya hening. Hanya kami dan beberapa penggali kubur berada di sana.
Angin kadangkala bertiup kuat, sedikit sebanyak menyejukkan badan namun tidak mampu meredakan gundah di hati.
Jurukamera, Ab Uzza Ab Latif pastinya lebih risau kerana dia yang perlu berada lebih hampir dengan beberapa individu yang lazimnya menjalankan tugas tanpa boleh didekati orang lain.
Tugasan kami pada hari tersebut, merakam perjalanan akhir jenazah COVID-19, adalah tugasan yang meninggalkan kesan mendalam di hati penulis.
Laporan Khas | Perjalanan akhir cerita dari kubur jenazah COVID-19
Kami tiba di tanah perkuburan kira-kira jam 11.15 pagi dan ketika itu hanya ada Ardianshah Ontong, Mohd Nazri Abdul Nasir dan seorang lagi rakan setugas mereka.
Ketiga-tiganya bertanggungjawab menguruskan jenazah pesakit COVID-19 di situ. Ketua mereka, Pengarah Jabatan Kemasyarakatan, Aznan Hassan dan Penyelia Perkuburan Islam MBPJ, Mat Afendi Mohamad tiada di lokasi, sibuk menguruskan jenazah lain.
Jarum jam menunjukkan angka 12, bermakna jenazah sudah hampir tiba. Hati semakin risau menunggu ketibaan jenazah namun Ardianshah dan rakan-rakannya kelihatan tenang.
“Pastikan nanti jangan duduk dekat, pakai ‘hand sanitiser’ sekerap mungkin. Kita akan berada dekat dengan jenazah COVID-19, semua kena jaga-jaga,” pesan saya kepada Ab Uzza.
Masing-masing mempunyai isteri dan anak di rumah, sudah pasti kami berkongsi kebimbangan yang sama.
Selepas peralatan sedia, kami bergerak ke lokasi ditetapkan.
Jaraknya agak jauh dari pintu masuk, hampir 200 meter juga - sengaja diasingkan pusara biasa dan pusara COVID-19.
BACA: Jenazah pesakit COVID-19 pun kami uruskan, semuanya percuma - Sentuhan Setia Kasih
Tidak sampai 10 minit, kenderaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tiba, diiringi beberapa kenderaan lain, termasuk van jenazah milik Sentuhan Setia Kasih.
Hati kembali gundah, pertama kali berdepan situasi ini, tidak tahu bagaimana untuk respons dan kawal situasi.
Van kemudian berhenti tidak jauh dari kami. Keluar dua lelaki, lengkap memakai pakaian perlindungan diri (PPE). Mereka akan bantu kebumikan jenazah, begitulah rutin lazimnya.
Perkara pertama apabila jejak kaki ke tanah, dibuka pintu belakang van dan disanitasi seluruh kawasannya, jenazah turut disanitasi.
“Wah, betul-betul menjaga dan ikut SOP (prosedur operasi standard) mereka ini,” terdetik hati penulis.
Kebimbangan yang ada sejak dari awal pagi beransur hilang melihat mereka mengamalkan SOP dengan sangat ketat.
Pantas mereka bergerak, turun saja dari van, terus capai barangan keperluan dan seterusnya membantu seorang lagi rakan serta waris memakai PPE. Selesai semua itu, mereka terus kembali ke van.
Perlahan-lahan mereka turunkan jenazah dan sebelum kebumi, sekali lagi mereka mensanitasi jenazah sebelum menuju ke liang lahad yang sudah tersedia.
Ab Uzza pantas membawa kamera, kiri, kanan, depan, belakang, semua diredah demi mendapatkan ‘shot’ yang memuaskan hatinya.
Cuaca semakin terik, angin yang tadi kuat bertiup kini hilang entah ke mana, berpanaslah kami bersama penggali kubur yang tentunya lebih ‘terseksa’ kerana dibaluti PPE.
Sambil menunggu Ab Uzza, penulis sempat berbual panjang dengan seorang kakitangan KKM (penulis enggan kongsikan namanya) yang berada di lokasi.
“Elok Astro AWANI siarkan berita sebegini. Ramai yang masih tidak sedar, tak mahu ikut SOP betul-betul.
“Kes dah naik, dah sampai beribu-ribu tapi tetap ada yang degil, tak nak ikut peraturan,” katanya.
Mata kemudian menoleh ke tanah perkuburan. Eh, terkejut penulis kerana pengebumian hampir selesai, tak sampai 20 minit, pantas mereka bekerja.
Selesai tanah dikambus semuanya, kubur disanitasi, malah PPE mereka juga disanitasi.
Kemudian, mereka buka PPE, sekali lagi mereka disanitasi, baju, badan, semuanya disembur bagi memastikan tiada virus ikut pulang bersama.
Baju mereka? Lencun. Lega agaknya selepas selesai kebumi dan buka PPE yang dipakai dari tadi.
Cerita mereka mungkin tak ramai yang tahu namun apa yang pasti, mereka hampir setiap hari bergelumang dengan virus maut itu.
Ada sahaja laporan kematian diterima, pantas mereka siapkan segalanya, dari kerja menggali kubur sehinggalah jenazah dikebumikan.
Takut? Risaukan keluarga? Bimbang dijangkiti? Semua bermain di fikiran namun demi amanah, mereka terus gagah.
“Memang kita takutlah, takut bila kerja dan bawa virus itu balik. Sebaliknya bila kita bekerja, kita niat kat hati, kita bertugas, diberikan amanah, bekerja untuk Allah.
"Bila kita bekerja dengan niat yang betul, insyaAllah... Allah yang akan tolong kita,” kata Ardianshah.
Apabila hilang ahli keluarga akibat COVID-19, kesedihan para waris akan lebih terasa kerana tidak dapat menatap wajah, memeluk dan mencium jenazah buat kali terakhir.
Mereka hanya mampu menangis dan mendoakan dari kejauhan.
Lebih memilukan, Mohd Nazri berkata, ada yang enggan pulang kerana terlalu hiba.
“Saya kasihan bila tengok macam itu. Kalau jenazah biasa kita boleh tengok tapi kalau COVID-19 ini, sampai bila-bila tak boleh tengok dah.
“Kalau masuk wad dan sembuh, OK juga, boleh tengok lagi. Tapi kalau dah pergi, langsung tak boleh tengok. Muka tak boleh tengok, tak boleh pegang, tak boleh cium,” katanya.
Acapkali mereka melihat tangisan di pusara, banyak kali juga hati mereka ikut hiba namun hanya kata semangat diungkapkan kepada keluarga.
Hati sebak namun tugas tetap disempurnakan, setidaknya ia memudahkan urusan keluarga.
Jauh di sudut hati, mereka mengharapkan pandemik ini segera berakhir, tak sanggup melihat angka korban meningkat saban hari.
Tak sanggup juga melihat kesedihan keluarga yang tidak langsung dapat menatap wajah, memeluk dan mencium jenazah yang pergi tak kembali.
Pilunya... tidak terperi.
Hampir dua jam kami bersama mereka, penulis sempat bertanya pernahkah terjadi - keluarga, saudara atau rakan dijangkiti COVID-19 daripada mereka - atau pernahkah mereka sendiri disahkan positif?
Pantas mereka menjawab tidak, dan rahsianya:
“Sentiasa pastikan ikut SOP, basuh tangan dengan kerap, mandi dulu sebelum balik rumah, sanitasi setiap kali bersentuhan dengan perkara yang boleh datangkan risiko. Ikut semua, selamatlah semua,” kata mereka.
Dua jam temu bual, jujur, penulis kagum dengan semangat dan ketabahan mereka, berkorban masa dan tenaga demi membantu saudara seagama.
Berada dekat dengan mereka, baru tahu bagaimana sukarnya tugas mereka. Yang tak nampak, boleh berkata macam-macam namun yang dekat saja tahu bagaimana keadaan dan perasaannya.
Apa yang pasti, COVID-19 itu bukan 'cerita tipu-tipu', dan mati itu juga, pasti. Masanya saja tak tahu bila.
Malaysia, kita pernah landaikan keluk, kita mampu lakukannya sekali lagi!

* Jangan lupa untuk menonton laporan khas ini di AWANI 7:45 malam ini (Selasa, 1 Jun 2021).
#jenazah #COVID-19 #pandemik #angka korban #mangsa #maut #meninggal dunia #kubur #pusara #penggali kubur #Islam #KKM #SOP #PPE
;