Kisah Mamu Kassim dan koleksi barangan tembaga
Astro Awani
Oktober 1, 2019 10:24 MYT
Oktober 1, 2019 10:24 MYT
Sesetengah orang mungkin beranggapan mengumpul barang lama atau antik tidak membawa sebarang keuntungan.
Namun, berbeza pula halnya bagi seorang warga emas yang gemar mengumpul barangan tembaga untuk dijadikan hiasan.
Bagi Mohd Kassim Mohd Hanifah, 72, dari Bagan Jermal, dekat sini, barangan tembaga mempunyai nilai estetika tersendiri apatah lagi warnanya yang keemasan mampu memukau peminat barang antik.
Justeru, beliau yang lebih dikenali sebagai Mamu Kassim atau Mamu Tembaga tidak kisah mengeluarkan modal untuk membeli dan mengumpul barangan berkenaan sejak 20 tahun lalu.
Apatah lagi hasratnya untuk membuka kedai emas tidak kesampaian menyebabkan Mamu Kassim beralih kepada barang tembaga kerana warnanya yang menarik.
"Namun, tidak ramai yang tahu cara untuk memastikan warna tembaga berkilau seperti emas menyebabkan barangan hiasan itu kelihatan pudar dan terbiar begitu saja.
Saya beri contoh macam teko yang hitam dan gelap nampak sangat tidak cantik. Jadi untuk jadikannya elok semula rendamkan dalam air asam jawa selama sehari dua, kemudian gilapkan semula dan akan kembali berkilat," katanya ketika ditemui.
Selain di rumah, Mamu Kassim turut mempunyai stor untuk menyimpan barang tembaga berusia ratusan tahun di Taman Selat, Butterworth yang menjadi tumpuan peminat barang antik.
Selain seterika lama, barangan tembaga lain yang bernilai tinggi ialah tepak sireh, tempat menyimpan susu digunakan orang India, lampu zaman China kuno, dulang dan teko.
Mamu Kassim turut mengakui kecintaannya terhadap warisan bangsa menyebabkan dia mengumpul barang tembaga yang pernah digunakan generasi terdahulu.
"Orang Melayu (khususnya) mempunyai banyak kesenian sehinggakan duit syiling pun ada gambar tepak sirih yang sememangnya tekenal sebagai (pelengkap) adat resam ketika majlis perkahwinan misalnya," ujar Mamu Kassim lagi.
Berikutan ramai peminat barang antik termasuk dari kalangan orang India dan Cina, Mamu Kassim tidak keberatan menjual sebahagian barang tembaga dalam simpanannya jika ditawarkan dengan harga yang memuaskan.
#barang antik
#barang tembaga
#Butterworth
#hiasan
#Mamu Kassim
#Mamu Tembaga
#Mohd Kassim Mohd Hanifah
#nilai estetika