Kisah keluarga, negara & 1MDB: Agenda AWANI eksklusif malam ini bersama Nazir Razak

Israr Khalid
November 9, 2021 18:53 MYT
Malam ini eksklusif di pentas Agenda AWANI, Nazir merumuskan nukilannya yang ditulis setebal 385 muka surat itu.
KUALA LUMPUR: “What’s in a Name”, sebuah memoir seorang anak dan adik kepada dua bekas Perdana Menteri Malaysia.
Pasti begitu banyak cerita dan pendedahan yang terkandung dalam buku sulung daripada bekas teraju utama Kumpulan CIMB, Datuk Seri Nazir Razak, yang mula dijual kepada khalayak pada 8 November tempoh hari.
Sebagai anak bongsu Tun Abdul Razak Hussein, Nazir mengimbas memorinya membesar dengan melihat bapanya mengemudi negara pada waktu sukar, dan pada masa sama bertarung dengan penyakit.
Nilai dan prinsip Tun Razak menjadi asas kepada pembentukan peribadi beliau sehingga menjadi tokoh disegani dalam arena perbankan negara, membangunkan CIMB sehingga menjadi sebuah institusi perbankan yang berpengaruh di rantau ASEAN.
Sungguhpun tidak terlibat secara langsung dalam lapangan politik, ia tidak jauh dengan ‘padang permainannya’. Lahir dalam keluarga ahli politik, maka perkembangannya sentiasa dalam pemerhatian beliau.
Maka beliau tidak dapat lari daripada bercakap tentang kerisauannya terhadap kepimpinan negara, bermula dengan kisah penglibatan abangnya, Datuk Seri Najib Razak dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Keterlibatannya dalam episod yang menghantui hidupnya itu dikongsikan secara terperinci - atau sekurang-kurangnya apa yang perlu diketahui umum - dari detik penubuhannya, pengetahuannya tentang berlakunya penyelewengan, perkongsian dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad, pendedahannya sehingga kepada kejatuhan abangnya bersama Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.
Mungkin hampir tentang segalanya - keluarga, karier, kritikan dan saranan beliau terhadap bagaimana Malaysia harus bertindak untuk menjadi sebuah negara yang disegani dunia pada masa hadapan.
Malam ini eksklusif di pentas Agenda AWANI, Nazir merumuskan nukilannya yang ditulis setebal 385 muka surat itu.
Saksikannya, jam 8.30 malam hanya di saluran 501 dan astroawani.com
#Nazir Razak #Agenda Awani #Whats in A Name
;