Kisah 'jalan tikus' contoh terbaik tonjol semangat kebersamaan
Bernama
Ogos 17, 2024 11:45 MYT
Ogos 17, 2024 11:45 MYT
TELUK INTAN: Kisah 'jalan tikus' di Kampung Baru Pelawan contoh terbaik yang menonjolkan semangat kebersamaan dan tolong-menolong dalam membantu pengguna jalan raya yang mengalami kesulitan akibat kesesakan.
Jalan kebun sepanjang tiga kilometer itu mula berubah 'sifatnya' secara tiba-tiba apabila menjadi laluan pilihan pengguna bagi mempercepat perjalanan ke Kuala Lumpur sekiranya berlaku kesesakan di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) semasa musim cuti persekolahan dan perayaan walaupun keadaan permukaan jalan tidak sempurna seperti kebanyakan jalan lain.
Namun, di sebalik nikmat yang diperoleh pengguna tanpa mengira kaum itu, ada kisah luar biasa tentang kebaikan penduduk di kampung berkenaan yang majoriti terdiri kaum Cina yang sanggup membantu meratakan laluan itu tanpa mengharapkan apa-apa balasan demi keselesaan pengguna.
Penternak ikan Lee Weng Foong, 52, bersama rakan-rakannya tidak pernah mengeluh meskipun mereka terpaksa meratakan jalan tanpa sebarang upah.
"Apabila hujan, jalan ini boleh jadi sangat teruk, penuh dengan lubang dan tidak rata tetapi kami tidak berputus asa. Kami akan menggunakan jentera kami untuk membaiki jalan ini walaupun pada waktu tengah malam.
"Laluan ini akan membawa pengguna jalan raya melalui perjalanan sejauh tiga kilometer sahaja untuk keluar ke jalan besar di Kuala Bikam menghala ke selatan," kata Lee kepada Bernama.
Lee berkata sejak jalan berkenaan tular semenjak pengguna media sosial Zairul Annuar Mohd Zain, 47, menceritakan perjalanan bersama keluarga melalui 'jalan tikus' itu dari Gopeng dibantu sekumpulan penduduk berbangsa Cina yang sanggup bergotong-royong membantunya dan pengguna lain pulang berhari raya, walaupun pada waktu malam, beliau dan rakan berasa bangga dan puas dapat membantu mereka yang menggunakan laluan itu.
"Kebaikan itu sentiasa ada terutamanya ketika kami melihat betapa pentingnya jalan ini bagi ramai orang," katanya.
Anak kelahiran Kampung Baru Pelawan itu juga pernah dilaporkan sebelum ini berkata sebagai rakyat Malaysia, semua pihak mesti bersatu dan tolong-menolong antara satu sama lain supaya dapat hidup dengan harmoni.
Ketua Kampung Baru Pelawan Chin Yoon Kwong, 61, berkata pihaknya belum membuat sebarang permohonan rasmi untuk menjadikan jalan ini laluan alternatif memandangkan ia tanah bekas lombong dan dikelilingi kawasan pertanian seperti kelapa sawit dan perternakan ikan milik persendirian.
"Jadi selepas kampung ini tular dengan kejadian itu, apa yang kita boleh mohon adalah dengan mewujudkan satu pencawang telekomunikasi dan lampu jalan bagi memudahkan orang kampung serta mereka yang melalui jalan ini untuk dapatkan talian.
"Sekiranya pihak berkuasa tempatan mahu menjadikan jalan tikus itu sebagai jalan raya yang lebih baik dan selesa sudah tentu penduduk kampung sangat mengalu-alukan. Saya berbangga dengan tindakan penduduk membantu pengguna jalan raya April lepas dan itu satu perbuatan wajar dilakukan membantu mereka dalam kesusahan tanpa mengira bangsa," katanya.
Sementara itu, petani dari Kampung Sungai SC Ayer Hitam Hamdan Napiah, 63, memuji tindakan penduduk kampung berkenaan bersatu hati membantu mereka yang memerlukan bantuan.
"Ia satu contoh sangat baik menunjukkan bahawa kita semua boleh bersatu tanpa mengira bangsa untuk membantu satu sama lain," katanya.
-- BERNAMA