Kisah Izzad Daniel: Dari Henry Gurney impi kerjaya di langit biru

Israr Khalid
Mei 1, 2021 09:00 MYT
Setiap orang berhak memiliki peluang kedua, atau seterusnya. Begitulah Muhammad Izzad Daniel Abdullah, alumni Sekolah Henry Gurney yang kini sedang mengejar impiannya menjadi manusia berjaya. -Astro AWANI
REMAJA ialah fasa seseorang manusia mencari identiti dirinya.
Orang yang mencari ini penuh rasa ingin tahu, jadi dia akan mencuba segala yang ditemuinya tanpa mengetahui sama ada ia baik atau buruk.
Tidak salah mencuba, tetapi seseorang yang sedang mencari itu perlu ada panduan, bimbingan dan pedoman untuk memimpinnya dalam membuat pertimbangan.
Bagi yang bernasib baik, mereka terselamat dalam mencari jalan yang benar di dunia ini.
Namun ada juga yang kurang bernasib baik, terjerumus ke kancah kemungkaran dan hanyut tanpa tempat untuk berpaut.
Begitulah yang terjadi kepada Muhammad Izzad Daniel Abdullah.
Kerana kongkongan keluarga dan ketiadaan bapa setelah berkahwin dua, dia mengisi kelompongan waktu dan jiwa dengan bergaul di luar.
Malangnya, persekitarannya membinasakan.
“Umur 12 tahun saya sudah terjebak dengan pil kuda. Kemudian naik sekolah menengah, saya terjebak dengan syabu dan jadi ketagih.
“Saya sekolah sampai tingkatan dua sahaja, dan cuba nak cari kerja. Tapi tak ada orang nak ambil saya bekerja dengan keadaan saya yang teruk,” ceritanya.
Sebagai jalan mudah, dia mengambil jalan kiri dengan memecah masuk rumah orang untuk mendapatkan sumber kewangan.
Ketika itulah, dia terkandas apabila diberkas polis.
Izzad dihantar ke Sekolah Henry Gurney, Telok Mas, Melaka pada 2016.
Selama tiga tahun dia menjalani pemulihan diri, dia bertekad untuk membentuk jalan hidup yang lebih baik.
Namun apabila keluar pada 2019, apa yang diimpikan tidak semudah disangka.
Sudah membuku dalam kepala dan hati masyarakat bahawa Sekolah Henry Gurney ialah 'sekolah budak jahat' dan alumninya adalah 'mereka yang tak guna'.
“Ramai juga yang keluar dan berjaya, tapi tak kurang juga yang kembali ke hidup lama. Ini kerana masyarakat tidak memberi peluang kedua.
"Mereka dikecam dan akhirnya patah semangat untuk berubah,” luahnya.
Namun Izzad kuat. Dia bertekad untuk mengubah persepsi masyarakat tentang institusi yang menjadi titik tolak perubahan positif dalam hidupnya.
Kata Izzad, gagal sekali tidak bermakna gagal selamanya.
“Bila kita buat benda positif, masyarakat akan pandang kita positif. Untuk dapat tindak balas positif, kita kena terus buat benda positif,” tegasnya.
Benar kata Izzad. Usahanya berkongsi kisah hidup dan pengalaman di Sekolah Henry Gurney di pelbagai platform digital mendapat perhatian ramai.
Dia kini dilanggan lebih 51,000 pengguna di YouTube, dan video-video TikToknya menjadi tular dikongsi ramai.
Selepas memperoleh keputusan memberangsangkan dalam SPM, Izzad menyertai Program Riben Kuning yang memberikannya peluang pekerjaan selama beberapa bulan dengan Westport di Pelabuhan Kelang.
Tidak lama kemudian, dia menerima tawaran untuk melanjutkan pengajian peringkat diploma dalam jurusan Pengurusan Penerbangan.
Kini, dia sedang menjalani pengajian untuk mengejar cita-citanya menjadi seorang kru penerbangan.
Kisah Izzad ini adalah satu daripada ratusan kisah kejayaan anak muda malang yang bangkit mengubah takdir hidupnya.
Namun tidak semua kuat seperti Izzad, dan kita tidak boleh mengharapkan semua orang boleh bangun dan melangkah semula dengan sendiri.
Semua orang pernah menjadi remaja, tetapi entah kenapa apabila meningkat usia semua seakan lupa bagaimana menjadi seorang remaja.
Menjadi manusia, kita saling memerlukan antara satu sama lain, ketika kita berada di kedudukan terbaik, apatah lagi apabila kita tersembam jatuh menyembah bumi.
Jenayah dalam kalangan remaja bukanlah benda yang boleh kita pandang ringan.
Pada lingkungan usia itulah, manusia sangat memerlukan pimpinan untuk mengemudi dirinya dalam perjalanan hidup yang masih jauh.
Apalah bentuk pendidikan kita apabila akhirnya ia menghasilkan masyarakat yang tidak henti-henti zalim mengadili dan menghakimi; bukannya insan yang sedia cuba memahami perjalanan berbeza setiap manusia yang ada di muka bumi ini.
Tonton sesi penuh Dialog Tiga Penjuru bersama hos Nazri Kahar, di sini:
Dialog Tiga Penjuru: Jenayah | Ini bukan jenaka
#Dialog Tiga Penjuru #Sekolah Henry Gurney #Izzad Daniel #peluang kedua #juvana #ambil dadah #pecah rumah #sekolah budak jahat
;