Kira-kira 850 terkandas, kereta kabel alami masalah teknikal
Astro Awani
Februari 18, 2018 22:01 MYT
Februari 18, 2018 22:01 MYT
Kira-kira 850 pengguna terkandas di beberapa stesen perkhidmatan SkyCab akibat kerosakan teknikal.
Perkara itu disahkan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Langkawi, Mohd Hisham Ibrahim ketika dihubungi Astro AWANI.
Mohd Hisham berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 6.53 petang itu.
"Tiada pengguna yang terperangkap di dalam gondola dan usaha membawa turun kesemua mangsa yang terkandas sedang dijalankan," katanya.
Berikut merupakan kenyataan media pengendali kereta kabel Langkawi SkyCab, Panorama Langkawi Sdn Bhd.
OPERASI KERETA KABEL LANGKAWI TERGENDALA
Operasi Kereta Kabel Langkawi tergendala ekoran gangguan dalam sistem pengendalian yang berlaku pada pukul 5.48 petang. Seramai 88 orang penumpang yang terkandas dalam 16 buah gondola telah berjaya diselamatkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia pada pukul 9.50 malam.
2. Panorama Langkawi Sdn Bhd, syarikat pengelola Kereta Kabel Langkawi, telah berjaya menjalankan kerja-kerja pembaikan sistem pengendalian kereta kabel. Semua penumpang dan kakitangan yang terkandas telah berjaya dibawa turun mulai pukul 11.00 malam.
3. Seramai 210 orang penumpang dan 36 orang kakitangan terkandas di Middle Station manakala 750 orang penumpang dan 42 orang kakitangan terkandas di Top Station Kereta Kabel Langkawi.
4. Operasi Kereta Kabel Langkawi pada 19 Februari 2018 akan bermula mulai pukul 12.00 tengah hari untuk kerja-kerja penyelenggaraan.
Panorama Langkawi Sdn Bhd
18 Februari 2018