Kira-kira 400 pendaratan penyu direkod tahun ini
Wan Zuratikah Iffah Wan Zulkifli
Jun 20, 2022 05:30 MYT
Jun 20, 2022 05:30 MYT
KEMAMAN: Kira-kira 400 pendaratan penyu direkodkan di negeri Terengganu antara bulan Januari hingga Jun tahun ini.
Ketua Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Rantau Abang, Nurruhudayu Rani berkata jumlah pendaratan berkenaan adalah antara yang tertinggi di semenanjung dengan jumlah kematian reptilia marin itu kurang daripada 0.5 peratus.
Menurut Nurruhudayu, secara keseluruhan, kes kematian penyu sama ada secara semulajadi atau aktiviti manusia masih terkawal berbanding jumlah pendaratan.
"Kebanyakannya untuk dari segi pengalaman kita yang kita dapat laporan kebanyakannya terperangkap dalam pukat.
"Sama ada pukat hanyut atau pun pukat hantu yang kita panggil ghost net atau pun pukat pari.. sebab dia terperangkap tak boleh naik ke atas untuk bernafas," katanya.
Nurruhudayu berkata dalam usaha memastikan kelestarian hidupan laut itu semua pihak perlu meningkatkan tahap kesedaran serta peranan masing-masing.
"Kita tanganinya sebenarnya atas kesedaran golongan yang berdekatan dengan ekosistem penyu itu sendiri, sama ada nelayan ataupun orang awam sebenarnya.
"Penyu ini apabila terperangkap di dalam pukat, masing-masing sebenarnya boleh lepaskan penyu ini. Cuma ada sesetengah itu dia bunuh penyu itu sambil diikat pada batu.
"Jadi sebenarnya itulah antara faktor yang menyebabkan penyu ini tak dapat survive untuk hidup," katanya.
Untuk rekod, Terengganu mencatatkan sebanyak 7,378 sarang penyu sepanjang tahun 2021 melibatkan lebih 500,000 telur penyu pelbagai spesies termasuk agar, karah dan tuntung laut.