Kira-kira 400,000 hektar ladang getah tidak aktif, pengeluaran tidak konsisten - Zuraida
Bernama
Mac 13, 2022 16:36 MYT
Mac 13, 2022 16:36 MYT
KUALA NERANG: Kira-kira 400,000 hektar atau 40 peratus daripada keseluruhan ladang getah yang diusahakan pekebun kecil seluruh negara didapati tidak aktif atau tidak menghasilkan pengeluaran getah secara konsisten.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, keseluruhan ladang getah itu membabitkan seramai kira-kira 150,000 pekebun kecil yang mana jika diusahakan secara cekap dan konsisten mampu menjana pengeluaran hasil getah bernilai RM30 bilion.
"Sekarang ini kita menilai ada dalam 40 peratus yang hasilnya tidak konsisten, kejap ada, kejap tidak ada, kejap aktif, kejap tidak aktif, jadi kita hendak menyelaraskan kawasan-kawasan getah yang tidak konsisten ini untuk memastikan pengeluaran terus konsisten untuk meningkatkan hasil.
"Antara punca ladang-ladang getah ini tidak aktif atau pengeluaran tidak konsisten adalah disebabkan tiada orang menoreh, pekebun kecil yang telah berusia dan tiada orang nak menguruskan ladang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah Pusat Pemprosesan Getah Krip dan Projek Transformasi Perusahaan Getah (TARGET) di sini hari ini.
Menurutnya, KPPK dan agensi berkaitan sedang mencari jalan bagi menyelesaikan isu itu, antaranya dengan mewujudkan koperasi di kawasan ladang getah yang dikenalpasti untuk menghimpunkan pekebun kecil di bawah satu entiti.
Katanya menerusi kaedah ini, koperasi yang diwujudkan dapat bertindak menguruskan ladang-ladang getah yang tidak aktif atau tidak konsisten agar pengeluaran getah dapat dioptimumkan.
"Jadi koperasi ini boleh menjelajah dan mengenal pasti ladang-ladang getah di kawasan tersebut dan berbincang dengan pemilik tanah supaya koperasi dapat mengambil alih pengurusan ladang yang tidak aktif ini," jelas Zuraida.
Beliau menambah sekiranya kesemua ladang-ladang getah yang diusahakan pekebun kecil dapat dioptimumkan pengeluarannya, ia dijangka akan meningkatkan hasil eksport getah asli dan produk getah negara melebihi RM71 bilion yang dicatatkan tahun lalu.
Mengulas mengenai pembinaan Pusat Pemprosesan Getah Krip pula, beliau berkata ia bertujuan membantu pekebun kecil meneroka peluang baharu dalam rantaian pengeluaran getah dan memudahkan hasil getah dikumpul dan diedarkan.
Katanya pusat itu akan memproses 'cuplump' (getah sekerap) menjadi getah krip yang boleh dijual pada harga yang lebih tinggi sekali gus membantu pekebun kecil meningkatkan pendapatan mereka antara RM2,000 hingga RM2,500 sebulan berbanding RM1,500 ke RM1,800 dengan menjual 'cuplump'.
-- BERNAMA