KIR miskin tegar meningkat lebih tiga kali ganda setakat Jun - Mustapa
Hasimi Muhamad
Julai 18, 2022 11:00 MYT
Julai 18, 2022 11:00 MYT
KUALA LUMPUR: Jumlah ketua isi rumah (KIR) yang dikategorikan sebagai miskin tegar menunjukkan peningkatan lebih tiga kali ganda dalam tempoh 2020 hingga Jun lalu.
Berdasarkan Bank Data Kemiskinan Nasional atau eKasih diuruskan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri, sebanyak 144,932 ketua isi rumah dikategorikan sebagai miskin tegar setakat 30 Jun lalu berbanding 44,829 pada 2020.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pertambahan tersebut berlaku susulan daripada penggunaan metodologi pendapatan garis kemiskinan (PGK) 2019 dan impak pandemik COVID-19.
Bagaimanapun, jelas beliau, kerajaan komited untuk membasmi kemiskinan tegar menerusi sasaran dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) pada akhir tahun 2025.
"Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) adalah pelengkap kepada program sedia ada untuk menangani isu kemiskinan merentasi semua etnik dalam Keluarga Malaysia.
"Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (EPU) dan ICU telah diberi tanggungjawab untuk menyelaras dan memudah cara pelaksanaan program ini.
"Program pembasmian kemiskinan bukan sesuatu yang baharu. Ia telah mula sejak kemerdekaan dan dipergiatkan pada tahun 1970-an melalui Dasar Ekonomi Baru.
"Walau bagaimanapun, di bawah BMTKM, kaedah dan pendekatan dalam membasmi kemiskinan tegar adalah berbeza dan lebih holistik," katanya pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Sebelum itu, Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Bersatu-Sabak Bernam) meminta Perdana Menteri menyatakan bilangan rakyat yang dikategorikan sebagai miskin tegar bagi tempoh 2020 hingga kini, serta langkah kerajaan bagi menghapuskan kemiskinan tegar.
Mengulas lanjut, Mustapa berkata, BMTKM akan dilaksanakan di 1,000 lokaliti dalam tempoh tiga tahun enam bulan, di mana fasa 1 telah mula dilaksanakan pada Jun lalu melibatkan 80 lokaliti secara rintis.
Ujarnya, program yang akan dilaksanakan adalah untuk meningkatkan pendapatan yang merangkumi projek-projek pertanian, penternakan, keusahawanan, pemasaran serta pembangunan minda dan motivasi.
Mustapa berkata anggaran pendapatan tambahan yang akan dijana adalah di antara RM300 hingga RM1,000 sebulan.
Selain itu, beliau menambah Unit Kemiskinan khusus pada peringkat persekutuan, negeri dan daerah turut ditubuhkan serta mengguna pakai pendekatan keseluruhan negara berdasarkan masalah setempat dan bukannya 'one size fits all'.
Kerajaan juga katanya turut memperkenalkan dasar pemisah selepas tempoh dua hingga tiga tahun pelaksanaan.