KIR miskin tegar berdaftar berkurang dalam 6 bulan lalu - Hanifah Hajar
Astro Awani
Mei 25, 2023 21:20 MYT
Mei 25, 2023 21:20 MYT
KUALA LUMPUR: Jumlah ketua isi rumah (KIR) miskin tegar berdaftar berkurang daripada 124,744 kepada 118,217 KIR bagi tempoh 15 Disember 2022 hingga 15 Mei lalu, kata Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib.
Memetik data dinamik eKasih seliaan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (JPM), beliau berkata, KIR miskin berdaftar pula berkurang daripada 304,911 kepada 299,080 KIR dalam tempoh yang sama.
"Survei Pendapatan, Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas (HIES/BA) terkini yang diterbitkan adalah untuk 2019 bagi insiden kemiskinan mutlak 5.6 peratus dan insiden kemiskinan tegar 0.4 peratus.
"DOSM sedang memuktamadkan dapatan HIES dan BA 2022 yang dijangka diterbitkan pada suku ketiga 2023," katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) mengenai kemajuan yang telah dicapai kerajaan untuk mengurangkan kadar kemiskinan dan menghapuskan kemiskinan tegar sejak enam bulan lalu.
Hanifah Hajar berkata, situasi pasaran buruh negara juga bertambah baik sejak negara memasuki fasa peralihan ke endemik dengan kadar pengangguran bagi Mac 2023 telah menurun kepada 3.5 peratus berbanding 5.3 peratus pada Mei 2020.
Katanya, pertumbuhan ekonomi yang kukuh pada 2022 telah membantu menyokong pemulihan dalam pasaran buruh.
Beliau berkata, kerajaan sedang melaksanakan pelbagai intervensi untuk menstruktur ekonomi negara dengan keperluan ekonomi rakyat berhubung menangani kemiskinan dan sebahagian daripada langkah membantu golongan miskin yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika Bajet 2023.
Antara langkah yang diumumkan ialah sumbangan Tunai Rahmah kepada hampir sembilan juta penerima dengan peruntukan hampir RM8 bilion; bantuan pelbagai subsidi kepada pesawah dan pekebun kecil serta Pakej Perpaduan Prabayar Internet Mudah Alih dan Pakej Perpaduan Jalur Lebar.
Hanifah Hajar memberitahu, sejumlah 82,892 peserta telah berdaftar untuk Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) yang menumpukan kepada pengupayaan golongan B40 bagi meningkatkan potensi pendapatan secara mampan hingga 22 Mei lepas yang telah menyediakan sebanyak RM750 juta pada 2023 bagi tujuan itu.