Kipas siling timpa kepala pekerja restoran makanan segera
Bernama
Oktober 20, 2019 16:53 MYT
Oktober 20, 2019 16:53 MYT
Seorang pekerja restoran makanan segera terpaksa menerima sembilan jahitan di kepala selepas sebuah kipas siling jatuh ketika dia sedang berurusan di kaunter bayaran saman trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini, hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Nilai, DSP Azrul Hisham Mohd Shaffei berkata, kejadian berlaku pada pukul 12.20 tengah hari di sebuah gerai pameran milik PDRM sempena program NS Fest 2019 di Dataran Nilai, di sini.
"Mangsa, Mohammad Zaki Yaakob, 39, dari Kajang, Selangor ketika itu sedang membuat pembayaran saman di kaunter bayaran saman trafik, sebelum sebuah kipas siling terjatuh dan mengenai kepala mangsa.
"Mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian kepala menerima rawatan awal oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) sebelum dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban untuk menerima rawatan lanjut. Mangsa dilaporkan stabil," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Katanya kaunter pembayaran saman trafik PDRM itu dibuka selama dua hari mulai semalam sempena program NS Fest 2019 yang dianjurkan kerajaan negeri, dan berlangsung selama empat hari mulai Khamis lepas. - BERNAMA
#kepala siling
#Negeri Sembilan
#nilai
#PDRM
#pekerja restoran makanan segera
#Polis Diraja Malaysia
#timpa kepala