Kiosk Sentuhan Madani kedua di KL Sentral akan dilancar esok

Bernama
Mac 12, 2025 16:45 MYT
Dijangkakan jumlah transaksi pengguna di KL Sentral akan meningkat hingga tiga kali ganda berbanding Kiosk Sentuhan Madani pertama di Alamanda, Putrajaya. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memperluaskan inisiatif Kiosk Sentuhan Madani ke lokasi strategik kedua di Stesen Sentral Kuala Lumpur (KL Sentral) bagi memanfaatkan lebih ramai pengguna, selepas sambutan luar biasa terhadap perkhidmatan digital itu di Putrajaya.

Ringkasan AI
  • Kerajaan akan memperluaskan inisiatif Kiosk Sentuhan Madani ke KL Sentral untuk memanfaatkan lebih ramai pengguna, dengan operasi dipanjangkan hingga 18 jam sehari.
  • Kiosk ini akan menyediakan lebih 100 perkhidmatan kerajaan daripada enam agensi utama, termasuk JPJ, Pos Malaysia, dan ASNB.
  • Pelancaran di KL Sentral dijangka meningkatkan jumlah transaksi pengguna hingga tiga kali ganda berbanding kios pertama di Putrajaya.

Ketua Pengarah Unit Pantau Madani Pejabat Perdana Menteri Mohd Khalid Mohamed Latiff berkata KL Sentral dipilih kerana ia menjadi hab utama dengan lebih 220,000 pengunjung setiap hari.
"Menteri Pengangkutan Anthony Loke akan melancarkan inisiatif ini esok (Khamis). Berbeza dengan kios pertama, inisiatif kali ini kita akan menaik taraf kios Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ke digital sepenuhnya dan serta penyertaan kiosl Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB)," katanya kepada Bernama selepas meninjau persiapan akhir bagi majlis berkenaan di sini hari ini.
Beliau berkata kelebihan Kiosk Sentuhan Madani di KL Sentral adalah operasinya dipanjangkan hingga 18 jam sehari, memudahkan orang ramai untuk mengakses pelbagai perkhidmatan kerajaan tanpa perlu mengambil cuti untuk menyelesaikan urusan.
Kiosk Sentuhan Madani menghimpunkan lebih 100 perkhidmatan kerajaan daripada enam agensi utama iaitu JPJ, Pos Malaysia, Tenaga Nasional Bhd, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Amanah Saham Nasional Berhad dan MyDigital ID.
Mohd Khalid menjelaskan sempena majlis pelancaran esok, pengunjung berpeluang mendapatkan 500 topi keledar percuma sumbangan JPJ serta juadah bubur lambuk yang diagihkan oleh Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB), pemaju utama KL Sentral.
Beliau menjangkakan jumlah transaksi pengguna di KL Sentral akan meningkat hingga tiga kali ganda berbanding Kiosk Sentuhan Madani pertama di Alamanda, Putrajaya, yang telah merekodkan hampir 5,000 transaksi sejak dilancarkan pada 9 Jan lepas.
Kiosk Sentuhan MADANI merupakan cetusan idea Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di bawah Belanjawan 2025 bagi mempercepatkan pendigitalan dan penyatuan perkhidmatan kerajaan di lokasi tumpuan sekali gus memudahkan rakyat berurusan di luar waktu pejabat.
-- BERNAMA
#Kiosk Sentuhan Madani #KL Sentral #perkhidmatan digital #JPJ ASNB
;