Kinohimitsu, PMKKL lancar inisiatif saringan mata percuma
Astro Awani
Februari 28, 2025 19:17 MYT
Februari 28, 2025 19:17 MYT
(Dari kiri) Presiden Rotary Club Rahman Putra, Alex Tan; CEO SPECTRUCK, Datuk Sri David Sew; OCPD Sungai Buloh, Supt Mohd Hafiz; Pengerusi PMKKL, Carmen Soo; Lembaga Pengarah Rotary Club Rahman Putra, Datuk Jacky Chen; COO Kino Biotech, Jennifer Chin
PETALING JAYA: Kinohimitsu bekerjasama dengan Pertubuhan Mata Kasih Kuala Lumpur (PMKKL) bagi melaksanakan Program Saringan Mata (Mata Jelas, Belajar Cerdas!) untuk meningkatkan kesihatan mata pelajar di Lembah Klang.
Ringkasan AI
- Kinohimitsu bekerjasama dengan Pertubuhan Mata Kasih Kuala Lumpur (PMKKL) untuk melaksanakan Program Saringan Mata (Mata Jelas, Belajar Cerdas!) yang menyediakan pemeriksaan mata percuma dan meningkatkan kesedaran mengenai penjagaan penglihatan bagi pelajar di Lembah Klang.
- Program ini melibatkan pelajar optometri dari SEGI University & Colleges yang menjalankan saringan kesihatan mata dan merujuk kes yang memerlukan rawatan lanjut kepada pakar, serta menggalakkan kitar semula kaca mata terpakai.
- Program ini diiktiraf oleh Chartered Institute of Compliance & Accreditation (CICA) dan mendapat sokongan daripada L'OCCITANE Foundation, CIMB Foundation, Rotary Club of Rahman Putra, Rotary Club of KL Sentral, Lions Club of Damansara Kuala Lumpur, serta Kementerian Pendidikan Malaysia.
Program ini bertujuan menyediakan pemeriksaan mata percuma serta meningkatkan kesedaran mengenai penjagaan penglihatan, khususnya dalam kalangan pelajar dari keluarga kurang berkemampuan.
Saringan kesihatan mata dikendalikan oleh pelajar optometri dari SEGI University & Colleges dengan bimbingan tenaga pengajar berpengalaman bagi mengenal pasti masalah penglihatan yang dihadapi pelajar.
Kes yang memerlukan rawatan lanjut akan dirujuk kepada pakar bagi memastikan intervensi awal dapat dilakukan bagi mengelakkan komplikasi yang lebih serius.
Program ini turut menggalakkan kitar semula kaca mata dengan mengumpul dan membaik pulih kaca mata terpakai sebelum diagihkan kepada pelajar yang memerlukan, manakala bingkai yang tidak boleh digunakan semula akan dikitar semula secara bertanggungjawab.
Inisiatif ini bukan sahaja membantu pelajar mendapatkan akses kepada alat bantuan penglihatan tetapi juga menyumbang kepada usaha kelestarian alam sekitar dengan mengurangkan pembaziran kaca mata.
Pelajar optometri yang terlibat juga mendapat pendedahan praktikal melalui program ini, membolehkan mereka mempelajari teknik penjagaan pesakit dan prosedur diagnostik secara langsung.
Program ini diiktiraf oleh Chartered Institute of Compliance & Accreditation (CICA) yang memberikan sijil ESG kepada pihak terlibat sebagai penghargaan terhadap sumbangan sosial dan alam sekitar.
Fasa pertama program ini dijalankan di beberapa sekolah di Lembah Klang termasuk SJKC Sungai Buloh, SMK Kepong Baru, SMJK Chong Hwa, SMK La Salle dan Victoria Institution.
Lebih ramai pelajar dijangka mendapat manfaat daripada pemeriksaan mata percuma serta kesedaran mengenai kepentingan penjagaan mata yang lebih baik.
Program ini juga mendapat sokongan daripada L'OCCITANE Foundation, CIMB Foundation, Rotary Club of Rahman Putra, Rotary Club of KL Sentral dan Lions Club of Damansara Kuala Lumpur.
Kementerian Pendidikan Malaysia turut menyatakan sokongan penuh terhadap inisiatif ini sebagai sebahagian daripada usaha berterusan meningkatkan akses kepada penjagaan penglihatan di kalangan pelajar sekolah.
#PMKKL
#saringan mata percuma
#kinohimitsu
#Program Saringan Mata
#Pertubuhan Mata Kasih Kuala Lumpur