Kini era peluang pekerjaan dicipta, bukan mencari kerja

Astro Awani
Jun 23, 2022 22:45 MYT
Kemudahan sosial media yang ada ketika ini boleh digunakan oleh pelajar-pelajar di sekolah atau universiti mencipta jenama mereka. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Di era ini peluang pekerjaan seharusnya dicipta bukan lagi mencari kerja kosong bagi mendapatkan sumber pendapatan bulanan.
Pelajar-pelajar pula tidak seharusnya terbeban untuk memperolehi keputusan peperiksaan yang cemerlang biarpun tidak dinafikan sekeping sijil mampu mencipta peluang pekerjaan.
Kemudahan sosial media yang ada ketika ini boleh digunakan oleh pelajar-pelajar di sekolah atau universiti mencipta jenama mereka.
Menurut palajar yang juga aktivis #MakeSchoolASaferPlace, Ain Husniza Saiful Nizam sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ramai pelajar-pelajar sekolah yang mula menjalankan perniagaan secara dalam talian.
"Sejak-sejak kebelakangan ini ramai yang anak muda sebaya Ain yang sudah buat online business lebih-lebih lagi sejak pandemik COVID-19 melanda dan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Ketika inilah TikTok mula menjadi pilihan ramai, ramai anak muda sebaya Ain yang jumpa cara macam mana nak guna media sosial.
"Anda tidak perlukan duit sebagai modal, tidak perlu duit. Kita pos dan kita boleh viral dan perniagaan kita boleh berkembang dari situ.
"Pada Ain, SPM adalah salah satu tiket tapi tidak semua perlu tiket tu," katanya.
Ain Husniza juga berpendapat, sifat keusahawanan ketika ini bukan lagi pilihan sebaliknya ia kini merupakan satu keperluan untuk mencipta peluang pekerjaan atau menjana pendapatan.
Bagi Pengarah Urusan JGlobal Academy, Javendra Kumar pelajar-pelajar hari ini boleh mencipta jenama mereka sendiri dengan hanya menggunakan sosial media.
Javendra berpendapat, mutakhir ini resume untuk mencari pekerjaan bukan lagi keperluan sebaliknya jenama yang dicipta di media sosial boleh membantu mendapatkan pekerjaan.
"Sijil akademik adalah hanya sebagai pasport semata-mata sekarang. Dalam dunia hari ini, penjenamaan adalah penting dan anda boleh lakukan di mana-mana platform media sosial, dengan Google, Instagram dan lain-lain.
"Sekarang bukan lagi tentang resume, tidak semestinya perlu ada resume untuk mendapatkan pekerjaan. Kalau dahulu memang perlu resume kerana tidak ada media sosial, jadi orang tidak kenal.
"Tetapi dengan adanya media sosial yang banyak, anda boleh jenamakan diri anda sendiri sejak alam persekolahan lagi," katanya.
Menyedari keperluan semasa, Lazada Malaysia sentiasa mencari individu-individu yang peka dengan media sosial dalam mencipta peluang pekerjaan.
Menurut Naib Presiden Kanan Hal Ehwal Kerajaan, Lazada Malaysia, Anis Yusof, golongan muda merupakan sasaran utama dalam usaha mencari pempengaruh.
"Lazada melihat dari dua aspek, satu dari segi pemasaran, bila kita mencari influencer misalnya, kita mencari orang seperti orang muda yang dinamik.
"Kita mencari anak muda yang ada sifat keusahawanan, yang peka tentang dunia digital dan bagaimana nak menjual satu barang secara online.
"Jadi kami di Lazada, kami mencari anak muda dalam kategori ini untuk mengembangkan perniagaan mereka," katanya.
Anis juga menjelaskan, Lazada juga berusaha untuk membantu golongan muda memajukan lagi perniagaan mereka dengan cara memberi latihan.
Mereka bertiga merupakan tetamu program Dialog Tiga Penjuru dengan tajuk Lepasan SPM: Pencari Kerja atau Pencipta Kerja?
#SPM #Sijil Pelajaran Malaysia #kerja #peluang pekerjaan #cari kerja #cipta peluang kerja #digital #media sosial
;