'King Cobra' 20 kilogram berehat bawah almari dapur berjaya ditangkap

Adie Sufian Zulkefli
Januari 7, 2024 09:30 MYT
Anggota APM menangkap ular tedung selar yang ditemui di bawah rak baju rumah penduduk di Kampung Kelebang, Baling, pada Sabtu. - Foto APM
BALING: Bunyi dengusan kuat di bawah rak baju berhampiran dapur mengejutkan seorang penduduk Kampung Keledang, di sini apabila mendapati ia rupanya seekor ular tedung selar yang sedang 'berehat'.
Kejadian itu disedari seorang suri rumah ketika hendak memasak di dapur rumah pada jam 4.30 petang Sabtu.
Bimbang sesuatu berlaku, wanita itu terus menghubungi anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Baling bagi mendapatkan bantuan.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Baling, Leftenan (PA) Mohd Faizol Abd Aziz berkata, pihaknya yang menerima panggilan berhubung kehadiran ular berkenaan pada jam 4.40 petang bergegas ke lokasi dan tiba di situ kira-kira 15 minit kemudian.
Beliau berkata, lima anggotanya yang tiba di situ kemudian melakukan pemeriksaan sebelum mendapati ular tedung selar itu masih berada di bawah rak baju berkenaan.
"Anggota kami terpaksa berhati-hati untuk menangkap ular spesis 'King Cobra' yang dalam keadaan agresif yang cuba menyerang anggota.
"Ular paling berbisa sepanjang hampir lima meter dengan berat 20 kilogram itu berjaya ditangkap dengan menggunakan peralatan penjerut," katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohd Faizol berkata, ular tedung selar itu kemudian dibawa pulang ke pejabat APM Baling untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata, perubahan cuaca yang berlaku ketika ini menyebabkan punca kehadiran ular pelbagai spesis yang semakin banyak terutama yang bersaiz besar dan berbisa untuk mencari perlindungan dan makanan di kediaman penduduk.
"Untuk kes yang diterima dalam tempoh enam hari pada bulan Januari tahun ini, pihak APM Baling menerima 12 kes berkaitan ular yang mana enam kes itu membabitkan enam ekor ular tedung selar.
"Bagaimanapun kami menasihatkan penduduk supaya berhati-hati dan jangan bertindak sendiri memukul ular kerana bimbang keselamatan terancam sekiranya diserang atau dipatuk, sebaliknya terus menghubungi pasukan penyelamat di talian MERS 999 atau Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) APM Baling sendiri di talian 019-5307091 (24 jam).
"Ini kerana anggota APM sudah dilatih dengan kemahiran menangkap ular serta mempunyai peralatan khas menangkap haiwan berbisa termasuk ular," katanya.
Dalam pada itu, Mohd Faizol berkata, statistik sepanjang tahun lalu menunjukkan kes paling tinggi yang diterima mereka adalah tangkapan ular iaitu sebanyak 676 kes berbanding kes lain.
Kes tangkapan ular paling banyak adalah pada Disember tahun lalu iaitu 79 ekor diikuti Mei (74) manakala November (70) dan Julai (63).
#King Cobra #ular tedung selar #Kampung Keledang Baling #Angkatan Pertahanan Awam Malaysia
;