Kimanis Memilih: Sembilan anggota polis mengundi awal esok
Hasimi Muhamad
Januari 13, 2020 12:10 MYT
Januari 13, 2020 12:10 MYT
Sembilan pengundi awal melibatkan anggota polis akan melakukan pengundian awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, esok.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Azhar Azizan Harun berkata, semua anggota terbabit akan mengundi di Bilik Gerakan, Balai Polis Membakut.
Katanya, proses pengundian awal akan dibuka bermula pukul 8 pagi sehingga 12 tengah hari.
“Semua peti pengundian awal akan disimpan di lokap Ibu Pejabat Daerah Beaufort dan pengiraan akan dibuat pada hari pengundian pada 18 Januari ini di pusat pengiraan undi berkelompok Bilik Mesyuarat 2, Pejabat Daerah Beaufort,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Azhar, proses pengundian awal akan turut disaksikan ejen calon dan Pemerhati Pilihan Raya yang dilantik SPR, selain disiarkan secara langsung atau live streaming di Facebook (FB) SPR.
Dalam perkembangan lain, SPR memaklumkan sebanyak dua kesalahan direkodkan setakat 12 Januari.
Ia masing-masing membabitkan kesalahan daripada Barisan Nasional (BN) dan Parti Warisan Sabah (Warisan) sepanjang tempoh berkempen.
PRK Parlimen Kimanis menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Warisan Datuk Karim Bujang dan calon BN Datuk Mohamad Alamin.
SPR menetapkan hari mengundi PRK Kimanis pada 18 Jan.
Parlimen Kimanis mempunyai dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) - Bongawan dan Membakut - dengan jumlah 29,664 pemilih layak mengundi, termasuk sembilan pengundi awal dan seorang pengundi tidak hadir yang berada luar negara.
Pemilih terdiri daripada 14,800 lelaki dan 14,864 perempuan dengan DUN Bongawan mempunyai 16,273 pemilih dan DUN Membakut 13,391 pemilih.
#Art Harun
#Azhar Azizan Harun
#balai polis
#Barisan Nasional
#kesalahan pilihan raya
#Kimanis Memilih
#live streaming
#Membakut
#pilihan raya kecil
#PRK Kimanis
#pusat pengiraan undi
#SPR
#Suruhanjaya Pilihan Raya
#undi awal