Kimanis Memilih: Kembar tiga curi tumpuan
Ruzaini Zulkepli
Januari 18, 2020 10:45 MYT
Januari 18, 2020 10:45 MYT
Kehadiran tiga beradik kembar yang hadir berpakaian sedondon mencuri perhatian di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Batu Enam, Kalatuan, pagi ini.
Zaki, Zakaria dan Zaidi Mahamud, yang berusia 33 tahun, berkongsi pengalaman turun mengundi di Sekolah Kebangsaan Our Lady of Fatima (M) Kelatuan.
Zaki berkata, mereka tiba di PDM berkenaan seawal jam 9.15 pagi dan amat bersyukur dengan keadaan cuaca yang baik, memandangkan semalam hujan lebat di daerah terbabit.
Mereka berpendapat proses pengundian pada pagi ini berjalan dengan lancar.
"Cuaca bagus hari ini. Prosesnya cepat, tidak macam sebelum ini. Mudah, cepat dan senang. Masa pun tidak terlalu bertumpu di sini.
"Semua okay, dari pihak polis, dari pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), semua bagi kerjasama, tiada masalah," katanya.
Mengulas lanjut mengenai pengalaman mereka bertiga pada proses pengundian berkenaan, Zaki menambah soal kekeliruan disebabkan muka mereka seiras adalah perkara biasa.
"Pengalamannya macam biasa, macam orang biasa juga.
"Kalau yang biasa, orang kampung sini, memang tahu sudah. Kalau budak baru, orang baru, kena tegur jugalah," katanya.
Katanya, mereka tidak pernah ketinggalan mengundi pada setiap kali pilihan raya sejak Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 pada 2008.
#kembar
#kembar tiga
#Kimanis Memilih
#mengundi
#pilihan raya kecil
#PRK Kimanis
#Suruhanjaya Pilihan Raya