Kimanis Memilih: Karim Bujang selesai buang undi
Hasimi Muhamad
Januari 18, 2020 09:45 MYT
Januari 18, 2020 09:45 MYT
Calon Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Karim Bujang selesai membuang undi di saluran satu di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Kimanis, di sini, kira-kira pukul 9 pagi tadi.
Karim, 67 tahun, ditemani isterinya, Datin Maimun Pg Bagul yang juga mengundi di pusat yang sama.
Sebelum itu, bekas Ahli Dewan Undangan (ADUN) Bongawan itu tiba kira-kira pukul 8.30 pagi, di sini.
Karim ketika ditemui pemberita berkata, beliau berpuas hati dengan proses pengundian hari ini.
“Saya agak kurang stress hari ini setelah berkempen sejak dari 4 Januari lalu.
“Hari ini nampak proses pengundian berjalan lancar, pengundi-pengundi telah mula menjalankan tugas mereka masing-masing.
"Dan cuaca hari ini juga agak cerah, mudah-mudahan keadaan ini akan berterusan sehingga petang walaupun Jabatan Kaji Cuaca meramalkan kawasan ini akan hujan pada (sebelah) petang,” katanya, di sini.
Seramai 2,158 pengundi berdaftar yang layak mengundi di pusat mengundi SK Kimanis, dengan lima saluran dibuka.
Dalam pada itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam kemaskini di laman Twitter memaklumkan setakat 9 pagi, sebanyak 17.19 peratus keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis.
Pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis bermula sebaik sahaja 19 pusat mengundi membabitkan 68 saluran dibuka pada 7.30 pagi hari ini.
Proses mengundi yang berlangsung sehingga pukul 5 petang membabitkan seramai 29,619 pengundi biasa yang layak mengundi.
#Karim Bujang
#Kimanis Memilih
#membuang undi
#Parlimen Kimanis
#Parti Warisan Sabah
#pengundi berdaftar
#PRK Kimanis
#SK Kimanis
#SPR