Kimanis Memilih: Calon BN mengundi di kampung halaman

Ruzaini Zulkepli
Januari 18, 2020 10:20 MYT
Mohamad membuang undi di SK Our Lady of Fatima di Kalatuan. - Astro AWANI
Calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mohamad Alamin tiba untuk membuang undi di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Batu Enam, Kalatuan, tepat jam 9.15 pagi tadi.
PDM bertempat di Sekolah Kebangsaan Our Lady of Fatima di Kalatuan itu menjadi pilihan Mohamad kerana lokasi terbabit merupakan kampung halamannya.
Beliau ketika ditemui berkata, pihaknya amat berpuas hati dengan proses pengundian pada pagi tadi yang berjalan dengan lancar.
"Alhamdulillah saya berpuas hati dengan persiapan yang telah dibuat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Saya mendoakan proses akan berjalan lancar pada hari ini.
"InsyaAllah saya akan ambil masa sebelah tengah hari atau pagi ini untuk meninjau proses pembuangan undi di sekitar Parlimen Kimanis ini," katanya.
Untuk makluman, seramai 2,300 pengundi kawasan ini dijangka mengundi hari ini.
Proses pengundian bermula jam 7.30 pagi.
PDM ini menyaksikan lima buah saluran dibuka untuk proses membuang undi.
Tinjauan Astro AWANI pagi ini mendapati keadaan di pusat mengundi sesak dengan kehadiran para pengundi, bagaimanapun keadaan amat terkawal dengan kehadiran pihak polis yang bertugas seawal jam 6 pagi.
#Barisan Nasional #calon #Mohamad Alamin #PDM Batu Enam #pilihan raya #polis #PRK Kimanis #sekolah #Suruhanjaya Pilihan Raya
;