'Kill switch' akan diwujud bagi tangani penipuan dalam talian - Azalina

Faida Rahim
Februari 27, 2024 15:45 MYT
Azalina berkata, kerajaan juga sedang merangka satu akta baharu yang merangkumi peruntukan berhubung tatacara dan penguatkuasaan kill switch berkenaan. - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR: Kerajaan mengambil langkah untuk mewujudkan satu sistem perundangan yang mampu bertindak sebagai 'kill switch' kepada aktiviti penipuan platform dalam talian secara automatik.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kerajaan juga sedang merangka satu akta baharu yang merangkumi peruntukan berhubung tatacara dan penguatkuasaan kill switch berkenaan.
Katanya, ia bertujuan untuk meningkatkan tahap keselamatan digital secara terperinci dan jelas.
"Ini kerana kebanyakan undang-undang (berkaitan keselamatan siber dan jenayah dalam talian) dirangka sebelum 2010. Sebab itu undang-undang perlu dipinda bukan sahaja dari segi substansif, tetapi juga dari segi prosedur supaya kita dapat membantu kerajaan menghadapi isu yang berlaku pada hari ini," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) yang ingin tahu usaha kerajaan bagi mengatasi masalah penipuan dalam talian yang semakin berleluasa.
Azalina berkata penelitian juga sedang dilaksanakan terhadap beberapa peruntukan undang-undang lain seperti Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613), Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) bagi membolehkan wang penipuan dikembalikan kepada mangsa.
Menurut Azalina Jawatankuasa Kerja Cadangan Penggubalan Undang-Undang Baharu Berkaitan Dengan Kemudaratan Jenayah Dalam Talian telah mengadakan mesyuarat pertama pada 5 Februari lepas dan dipengerusikan secara bersama oleh beliau, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil serta Menteri Digital Gobind Singh Deo.
#Azalina Othman Said #Perdana Menteri #kill switch #Dasar Kill Switch
;