Kilang terbakar: Operasi pemadaman diteruskan lebih 40 jam

Sinar Harian
Disember 5, 2023 19:10 MYT
Anggota bomba memeriksa keadaan kebakaran kilang di Bukit Selambau.
SUNGAI PETANI: Operasi memadam kebakaran membabitkan kilang memproses barangan kitar semula di Bukit Selambau masih giat diteruskan sehingga Selasa.
Setakat ini, kerja-kerja pemadaman yang bermula pada Ahad malam telah melebihi tempoh 40 jam.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah berkata, Pusat Kawalan Bomba Bukit Selambau telah menerima jentera jengkaut dari Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) bagi membantu operasi, pada jam 10.56 pagi.
Menurutnya, tindakan operasi pemadaman dilaksanakan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Amanjaya, BBP Guar Chempedak, BBP Sungai Petani, BBP Kepala Batas dan BBP Kulim Hi-Tech.
"Setakat ini, pemadaman semasa di lokasi berbaki 30 peratus.
"Maklumat terkini akan disalurkan dari semasa ke semasa berhubung kejadian," katanya melalui satu kenyataan.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan kebakaran di kilang di Bukit Selambau pada Ahad mengejutkan penduduk setempat berikutan api marak selain letupan yang berlaku seakan-akan percikan bunga api.
Bagaimanapun, hasil siasatan awal mendapati, kilang terbabit adalah membabitkan beberapa gudang dipercayai digunakan untuk memproses barangan kitar semula berkaitan logam.
Ia susulan kenyataan dari pihak Jabatan Alam Sekitar Negeri Kedah yang memaklumkan bahawa hasil maklumat menunjukkan premis terbabit dipercayai menjalankan aktiviti memproses dan menyimpan buangan terpakai seperti asid, bateri terpakai, sisa elektronik dan sekerap logam. - Sinar Harian
#kebakaran kilang #kebakaran besar #Bukit Selambau #punca kebakaran
;