Kilang tayar di Kuang dijilat api, pekerja melecur 80 peratus
Harits Asyraf Hasnan
Februari 18, 2018 15:29 MYT
Februari 18, 2018 15:29 MYT
Dua pekerja warga Bangladesh melecur antara 40 hingga 80 peratus apabila kilang getah yang mereka bekerja hangus dijilat api di Kampung Orang Asli di sini pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Batu Arang, Yazli Yahya berkata api merebak dengan pantas akibat longgokan tayar dalam kilang yang terbakar 60 peratus.
“Api dapat dikawal pada jam 11.08 pagi dan padam sepenuhnya 2.10 petang,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Katanya, bomba menerima panggilan pukul 10.23 pagi tadi dan menggerakkan dua pegawai bersama 21 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Arang, Rawang dan Sungai Buloh.