Kilang proses pastri kotor diarah tutup - DBKL
Bernama
Ogos 11, 2020 04:23 MYT
Ogos 11, 2020 04:23 MYT
Sebuah kilang memproses pastri di Jalan Pudu di sini, diarah tutup selepas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melalui Unit Kualiti Makanan, Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar mendapati tahap kebersihan premis tersebut tidak memuaskan.
Dalam satu kenyataan DBKL memaklumkan mengeluarkan Notis Perintah Penutupan Premis di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 berkuat kuasa Rabu.
Tindakan penguatkuasaan juga dikenakan terhadap premis tersebut di bawah Undang-undang Kecil 25(1)(C) Akta Makanan 1983 kerana terdapat lipas dan najis tikus di ruang stor.
"Hasil pemeriksaan mendapati lantai dan dinding premis penyediaan makanan kotor dan berdaki hitam, tiga pengendali makanan warga asing iaitu Bangladesh dan Indonesia tidak mempunyai suntikan tifoid serta tidak memakai penutup kepala, apron dan kasut semasa mengendalikan makanan.
"Peralatan serta kelengkapan pemprosesan makanan juga dalam keadaan kotor, terdapat lipas dan najis tikus di ruang stor yang menempatkan bahan makanan kering, keadaan premis tidak tersusun kemas serta tiada amalan 'First In, First Out' (FIFO) dalam stor makanan," menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu turut memaklumkan tindakan seumpama ini akan diteruskan dari semasa ke semasa oleh DBKL.
-- BERNAMA
#berdaki
#DBKL
#kilang pastri
#kotor
#lipas
#najis tikus
#Notis Perintah Penutupan Premis
#pengendali makanan
#stor makanan
#suntikan tifoid
#tutup premis
#warga asing