Kilang proses ayam diserbu, majikan abai tanggungjawab
Bernama
Februari 27, 2024 17:49 MYT
Februari 27, 2024 17:49 MYT
IPOH: Tiada perakuan penginapan, penyata gaji serta membuat potongan gaji secara tidak sah adalah antara kesalahan yang dikesan dalam Operasi Bersepadu Mega Buruh Paksa dan Pemerdagangan Orang (Op Gegar), di sebuah kilang memproses ayam di sini hari ini.
Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Negeri Perak, Muhamad Fauzi Abd Ghani berkata kesalahan potongan tidak sah untuk tujuan bayaran lain juga turut dikenal pasti dalam operasi itu yang membabitkan 282 pekerja terdiri daripada warga Myanmar, Nepal, Indonesia dan warga tempatan.
"Hasil serbuan di kilang terbabit mendapati majikan telah melanggar Seksyen 24 (potongan gaji tidak sah), Seksyen 24 (8) iaitu potongan gaji melebihi 50 peratus, Seksyen 25A (membayar gaji secara tunai) dan Seksyen 60K (3) Akta Kerja 1955 iaitu gagal melaporkan penggajian pekerja.
"Kesalahan lain yang dilakukan ialah tempat penginapan tidak mematuhi peruntukan undang-undang dan siasatan dibuka mengikut Seksyen 24D(3) Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan, dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446)," katanya pada sidang media selepas operasi.
Beliau berkata operasi yang disertai lebih 30 pegawai dan anggota itu turut melibatkan agensi penguat kuasa Jabatan Imigresen, Pertubuhan Keselamatan Sosial dan Polis Diraja Malaysia.
Muhammad Fauzi berkata operasi itu bertujuan mengesan dan mencegah sebarang pelanggaran undang-undang perburuhan yang cenderung dilakukan majikan, sekali gus memastikan negara bebas daripada amalan buruh paksa menjelang 2030.
"JTK Perak akan terus memperkasakan penguatkuasaan secara konsisten demi memastikan kebajikan para pekerja tempatan mahupun asing dipelihara dan keharmonian perburuhan negara terus diperkasa," katanya.
-- BERNAMA