Kilang produk kesihatan terbakar
Adie Sufian Zulkefli
Julai 19, 2022 12:20 MYT
Julai 19, 2022 12:20 MYT
ALOR SETAR: Sebuah kilang pengeluar produk kesihatan di Kawasan Perindustrian Jalan Tandop dekat sini musnah dalam kebakaran pada Selasa.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima laporan pada jam 2.19 pagi.
“Sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar dikejarkan ke lokasi kebakaran.
"Sebaik tiba di lokasi didapati api sedang marak pada bahagian pejabat di tingkat satu kilang terbabit.
“Tindakan pantas bomba berjaya mengawal api daripada merebak ke bahagian lain dan memadam keseluruhan kebakaran dalam tempoh 15 minit,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohamadul Ehsan berkata kebakaran memusnahkan lebih 70 peratus struktur premis terbabit.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana kilang itu beroperasi pada sebelah siang manakala malam menghentikan operasinya.
Punca dan nilai kerugian masih dalam siasatan.