Kilang plastik kitar semula musnah dijilat api
Dewi Nur Harasha Alias
Disember 26, 2021 22:15 MYT
Disember 26, 2021 22:15 MYT
SEBERANG PERAI: Sebuah kilang plastik kitar semula di Kawasan Perusahaan Bukit Minyak, Bukit Mertajam musnah dijlat api dalam kebakaran petang Ahad.
Kejadian jam 6 petang itu menggemparkan penduduk sekitar berikutan asap tebal dapat dilihat dari jarak sejauh kira-kira tiga kilometer dari lokasi kejadian.
Bagaimanapun tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian tersebut.
Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 6.01 petang.
Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Perda bergegas ke lokasi kejadian.
"Sebaik tiba pasukan bomba mendapati kebakaran melibatkan sebuah kilang pembuatan plastik kitar semula dengan anggaran keluasan 2,500 meter persegi.
"Kilang itu turut dianggarkan musnah sebanyak kira-kira 70 peratus," katanya dalam kenyataan hari ini .
Menurut kenyataan itu, usaha memadamkan kebakaran terpaksa dibantu oleh pasukan bomba dari BBP Sungai Bakap, Perai, Batu Kawan, Kepala Batas dan Bayan Baru selain beberapa pasukan bomba sukarela berhampiran.
Setakat ini punca kejadian dan jumlah kerugian yang dialami pemilik kilang masih dalam siasatan.