Kilang pengeluar sarung tangan terbesar musnah dalam kebakaran

Adie Sufian Zulkefli
April 1, 2024 11:00 MYT
Tindakan pantas pemadaman dilakukan dengan penyemburan empat aliran pancutan air dari dua jentera bagi mengekang api daripada merebak ke kawasan kilang bersebelahan. - Foto JBPM Kedah
KULIM: Sebuah kilang pengeluar sarung tangan terbesar yang terletak di Jalan Padang Padang Meha di sini, hampir musnah dalam kebakaran malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Wan Mohd Hamizi Wan Mohd Zin berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 pada jam 10.27 malam.
Menurutnya, pegawai bersama anggota dan jentera dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Kulim Hi-Tech dan BBP Kulim dihantar ke lokasi kebakaran.
“Seramai 38 anggota bersama pegawai dengan dua jentera FRT, sebuah jentera Hazmat, sebuah lori tangki air dan sebuah kenderaan EMRS daripada BBP Kulim dan BBP Kulim Hi-Tech dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setiba di lokasi, api sedang marak membakar seluruh kawasan kilang.
“Tindakan pantas pemadaman dilakukan dengan penyemburan empat aliran pancutan air dari dua jentera bagi mengekang api daripada merebak ke kawasan kilang bersebelahan,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Wan Mohd Hamizi berkata, kerja pemadaman turut dibantu pasukan bomba sukarela dari Tasek Gelugor dan sekitarnya.
Katanya, api berjaya dikawal pada jam 11.30 malam namun kerja ‘overhaul’ masih dilakukan bagi memastikan tiada tompokan dan bara api yang boleh mengakibatkan kebakaran semula.
Beliau berkata tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.
“Punca dan nilai kerugian masih dalam siasatan,” tambahnya.
#Kulim #bomba #kebakaran #kilang sarung tangan
;