Kilang pau terkemuka diserbu, sijil halal tamat tempoh sejak dua tahun lalu

Aida Aziz
Mei 10, 2024 10:45 MYT
Anggota penguatkuasa KPDN ketika melakukan serbuan di kilang pau berkenaan. - Foto KPDN Perak
MUALLIM: Tidak mengendahkan nasihat untuk memperbaharui sijil halal yang sudah tamat tempoh sejak dua tahun lalu dan masih meneruskan perusahaan kilang pau dan kopi.
Akibat masih berdegil, sebuah kilang pau terkemuka yang sudah beroperasi lebih dari 50 tahun di Tanjung Malim serta mempunyai empat cawangan, akhirnya diserbu.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan dilakukan oleh KPDN Cawangan Tapah bersama Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) pada Khamis.
"Didapati kilang itu telah menggunakan sijil halal yang telah tamat tempoh pada September 2022.
"Operasi bersepadu ini dilaksanakan hasil semakan ke atas pemegang-pemegang sijil halal yang masih menggunakan logo halal walaupun telah tamat tempoh sah.
"Pengusaha pau itu telah dinasihati oleh pihak JAIPk tiga bulan lalu untuk memperbaharui permohonan sijil halal, namun tidak diendahkan.
"Susulan itu, KPDN telah menahan seorang lelaki tempatan berusia 50-an yang dipercayai pemilik kilang serta merakam keterangan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Sehubungan itu, katanya, satu tindakan kes diambil Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 dan bertindak menyita pau dan kopi yang menggunakan logo halal tanpa diperakui pihak berwibawa iaitu JAIPk.
Ujar Kamalludin, nilai keseluruhan barang rampasan dianggarkan berjumlah RM30,000.
"Kes disiasat di bawah Perintah 8 (a), Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 iaitu kesalahan memperaku mana-mana makanan itu adalah halal," katanya.
#kilang pau #sijil halal #tamat tempoh #kpdn
;