Kilang memproses kayu musnah dalam kebakaran

Adie Sufian Zulkefli
Mac 11, 2021 23:43 MYT
Sebuah kilang memproses kayu di Jalan Batu 5, Kuala Ketil, Baling musnah dalam kebakaran, pada Khamis. - Foto JBPM Kedah
BALING: Sebuah kilang memproses kayu di Jalan Batu 5, Kuala Ketil, Baling musnah dalam kebakaran, pada Khamis.
Bahan kayu di dalam kilang tersebut beserta tiupan angin yang kuat dipercayai menjadi punca api merebak dengan cepat.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada jam 2.53 petang.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kuala Ketil tiba di lokasi pada jam 3.05 petang.
"Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Sungai Petani dan Yan tiba di lokasi tidak lama kemudian.
"Setibanya di lokasi didapati kebakaran membabitkan sebuah kilang kelas A memproses kayu yang musnah terbakar dan siasatan awal mendapati kebakaran membabitkan struktur dalaman kilang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohamadul Ehsan berkata, kerja-kerja pemadaman dilakukan sejurus tiba di tempat kejadian.
Bagaimanapun, menurutnya, api kembali marak kira-kira jam 9.30 malam.
Ia dipercayai berpunca dari bahagian dalam kilang itu yang marak semula akibat bara api yang terdapat di lapisan bawah kayu.
Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, kerja pemadaman kini masih dijalankan.
Katanya, kerja pemadaman dilakukan dengan menggunakan dua jentera Water Tanker dari Balai Bomba Kulim Hi-Tech dan Sungai Petani bagi melakukan kerja pemadaman dari bahagian atas bangunan kilang itu.
Ketika kejadian, pekerja sempat berlari keluar menyelamatkan dari kawasan gudang simpanan kayu.
Tambah Mohamadul Ehsan, setakat ini punca dan kerugian kasih dalam siasatan.
#kilang memproses kayu #kebakaran #JBPM Kedah #Mohamadul Ehsan Mohd Zain #Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia #Kuala Ketil #Baling
;