Kilang kopi musnah dalam kebakaran di Taiping
Aida Aziz
Disember 5, 2022 22:39 MYT
Disember 5, 2022 22:39 MYT
TAIPING: Sebuah kilang kopi musnah dalam kejadian kebakaran di Kampung Boyan, di sini awal pagi tadi.
Menurut kenyataan Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, kilang tersebut musnah terbakar sebanyak 80 peratus dan anggota bomba mengambil masa kira-kira lapan jam bagi memastikan api padam sepenuhnya.
Katanya, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 4.38 pagi tadi, seterusnya anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping dikejarkan ke lokasi.
"Operasi pemadaman itu memakan masa hampir lapan jam dengan turut dibantu BBP Batu Kurau, BBP Bagan Serai, BBP Kamunting, lori tangki air dari BBP Seri Iskandar serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Parit Buntar.
"Kebakaran membabitkan sebuah kilang kopi kelas A yang musnah terbakar 80 peratus, bagaimanapun ia tidak melibatkan mangsa," katanya pada Isnin.
Katanya lagi, pasukan bomba terbabit diarahkan oleh komander operasi membuat kerja pemadaman menggunakan empat aliran 300 kaki enam pancutan, sehingga api dipadam sepenuhnya.
Operasi yang diketuai Ketua BBP Taiping, PKPgB Rafeel Hairul Richard itu tamat pada jam 1 tengah hari.