Kilang kitar semula musnah dalam kebakaran
Bernama
Mac 16, 2025 22:45 MYT
Mac 16, 2025 22:45 MYT
Sebuah kilang kitar semula di Jalan Perindustrian Bukit Minyak di Bukit Mertajam musnah dalam kebakaran hari ini. - JBPM Pulau Pinang via Bernama
BUKIT MERTAJAM: Sebuah kilang kitar semula di Jalan Perindustrian Bukit Minyak di sini musnah dalam kebakaran hari ini.
Kebakaran itu yang menyebabkan kepulan asap tebal menyelubungi kawasan berhampiran bagaimanapun tidak melibatkan kehilangan jiwa atau kecederaan.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang Mohamad Shoki Hamzah berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.37 pagi dan jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Perda terus ke lokasi kejadian.
"Sebaik tiba, pihak bomba mendapati sebuah kilang kitar semula dengan anggaran keluasan bangunan 2,000 meter persegi terbakar dan api ketika itu sedang marak dan sehingga petang, kilang tersebut musnah lebih 90 peratus.
"Pihak bomba membuat kerja-kerja pengawalan dan pemadaman bagi mengawal api daripada terus merebak dengan membahagikan kepada empat sektor sebelum kebakaran itu dapat dikawal pada 2.02 petang," katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau berkata sehingga 7 malam ini, pihak bomba masih menjalankan kerja-kerja overhaul atau pemeriksaan di kilang itu bagi memastikan bara musnah sepenuhnya.
Menurut Mohamad Shoki punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Operasi turut dibantu lebih 100 pegawai dan anggota bomba dari BBP Paya Terubong, Sungai Bakap, Batu Kawan dan Bukit Mertajam serta Pasukan Bomba Sukarela Padang Lalang, Permatang Tinggi, Kota Permai, Taman Merak Jaya dan Juru.
-- BERNAMA