Kilang kitar semula musnah dalam kebakaran

Bernama
Februari 3, 2025 14:40 MYT
Operasi pemadaman tamat sepenuhnya pada 6 pagi.- Foto Bernama
BUKIT MERTAJAM: Sebuah kilang barangan kitar semula di kawasan Perindustrian Ringan Alma, di sini musnah akibat kebakaran malam tadi.
Bagaimanapun, tiada kehilangan nyawa atau kecederaan dilaporkan kerana difahamkan tiada pekerja di premis itu semasa kejadian berlaku.
Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang Mass Rafiuddin Mass Ariffin berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.37 malam.
"Kebakaran membabitkan sebuah kilang berkeluasan 2,787 meter persegi dengan anggaran kemusnahan kira-kira 60 peratus. Bomba dapat mengawal api sekitar dua jam kemudian," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata lebih 100 pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Mertajam, Sungai Bakap dan Batu Kawan yang dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kulim, Sungai Jawi, Permatang Pauh, Taman Sukun, Permatang Tinggi, Padang Lalang dan Valdor terlibat dalam operasi itu.
Operasi pemadaman tamat sepenuhnya pada 6 pagi manakala punca kebakaran dan jumlah kerugian sedang disiasat.
-- BERNAMA
#kilang barangan kitar semula terbakar #Bukit Mertajam #Bomba Pulau Pinang #operasi pemadaman
;