Kilang karpet terbakar: JAS pasang alat ukur kualiti udara di Nilai 3

Bernama
Februari 21, 2025 15:15 MYT
Kilang karpet di Nilai 3 musnah seratus peratus dalam kebakaran hari ini. - Bernama
NILAI: Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan (JASNS) memasang alat pengukur kualiti udara bagi memantau tahap kualiti udara di kawasan sekitar berikutan kejadian kebakaran di Nilai 3 di sini pagi tadi.
Pengarahnya Hamzah Mohamad berkata pihaknya akan memaklumkan sebarang perkembangan kepada penduduk untuk langkah keselamatan bergantung kepada bacaan data yang dijangka diperoleh dalam masa terdekat.
"Apabila data lengkap sudah diterima kita akan maklumkan kepada penduduk taman di sekitar Nilai 3, termasuk menasihatkan agar tidak melakukan aktiviti di luar sekiranya kualiti udara tidak baik.
"Taman berhampiran dengan lokasi adalah kurang satu kilometer sahaja dan kita nasihatkan kepada penduduk supaya tidak cemas, semuanya berada dalam keadaan terkawal," katanya kepada pemberita di lokasi kebakaran di sini hari ini.
Tinjauan Bernama mendapati asap tebal boleh dilihat sejauh lima kilometer dari Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah Seremban dan kawasan sekitarnya.
Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sembilan Nor Arifin Kamari menjangkakan operasi pemadaman dijangka tiga ke enam jam berikutan bahan yang menyebabkan kebakaran dalam kilang tersebut sangat banyak.
Beliau berkata pihaknya melaksanakan operasi pemadaman kebakaran tersebut secara 'offensive' selain beberapa risiko bahaya masih dikesan termasuk runtuhan struktur serta arus elektrik yang perlu dibuat penilaian secara berterusan.
Nor Ariffin berkata pihaknya masih mengenal pasti punca kejadian dan jumlah kerugian.
Sementara itu, pemilik yang juga pengarah syarikat J Rajesh, 52, ketika ditemui berkata kebakaran itu merupakan kejadian pertama sejak kilang tersebut beroperasi pada 2017.
"Walaupun musnah semuanya saya lega kerana kejadian itu tidak melibatkan pekerja atau orang awam dan saya anggarkan kerugian boleh mencecah kira-kira RM30 juta," katanya.
Terdahulu, media melaporkan sebuah kilang karpet di Nilai 3 di sini musnah seratus peratus dalam kebakaran dengan pihak bomba ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran itu pada 7.49 pagi.
-- BERNAMA
#kilang karpet #Nilai 3 #kebakaran #terbakar
;