Kilang hasil beras palsu tidak berasas - KP Kesihatan
Bernama
Jun 27, 2015 18:30 MYT
Jun 27, 2015 18:30 MYT
Kementerian Kesihatan hari ini menafikan dakwaan bahawa sebuah kilang beras di negeri Kedah menghasilkan 'beras palsu' dan menganggapnya sebagai tidak berasas.
Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata penafian itu hasil pemantauan kementerian.
Katanya, orang ramai tidak perlu khuatir kerana aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan keselamatan makanan sentiasa dijalankan bagi memastikan makanan di pasaran adalah selamat.
"Sekiranya pengguna masih ragu-ragu, mereka boleh membuat aduan kepada kementerian sama ada melalui pejabat kesihatan yang terdekat atau laman sesawang Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM): http://fsq.moh.gov.my atau www.facebook.com/bkkmhg," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Pada 21 Mei lalu, Dr Noor Hisham berkata kementerian telah mengambil maklum isu beras palsu yang tersebar di media sosial yang didakwa dihasilkan di negara China.
Satu rakaman video selama dua minit 30 saat mengenai kewujudan "beras palsu" yang dihasilkan di China tersebar luas di laman media sosial.
Sementara itu, beliau berkata, menurut Padiberas Nasional Berhad (Bernas), majoriti beras import ialah dari Vietnam, Thailand dan Pakistan.
Katanya, import beras dari negara China adalah terlalu kecil kurang daripada 0.01 peratus dari jumlah import keseluruhan kira-kira 800,000 tan metrik.
"Import itu adalah berdasarkan permintaan untuk kegunaan di restoran makanan Jepun dan Korea di negara ini," jelas beliau.