Kilang hangus di Batu Maung

Dewi Nur Harasha Alias
Mac 29, 2018 01:23 MYT
Sebuah kilang bahan kitar semula (scrap) berhampiran kawasan kargo di Batu Maung musnah dalam kebakaran yang bermula kira-kira jam 10.45 malam pada Khamis. - BERNAMA
Dua buah kilang berhampiran Kompleks Kargo Udara Kedua, Batu Maung Pulau Pinang musnah dalam kebakaran malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, salah sebuah kilang yang terbakar dipercayai kilang kitar semula.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu bergegas ke lokasi kejadian dengan kekuatan 30 jentera.
Setakat jam 1 pagi ini, operasi memadam kebakaran sedang giat dijalankan dengan membabitkan bantuan Pasukan Sukarelawan Bomba.
Pasukan bomba juga masih menjalankan siasatan ke atas jumlah premis yang terlibat termasuk mengenal pasti sama ada terdapat mangsa yang terperangkap.
Sementara itu, jurucakap Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) memberitahu, kebakaran yang berlaku tidak menjejaskan operasi penerbangan.
Katanya, jarak lokasi kebakaran dengan LTAPP dianggarkan kira-kira tiga kilometer.
#Batu Maung #kebakaran #kilang kitar semula #lapangan terbang pulau pinang #pulau pinang
;