Kilang fucuk kotor, penuh najis tikus diarah tutup
Bernama
Oktober 27, 2021 15:51 MYT
Oktober 27, 2021 15:51 MYT
NIBONG TEBAL: Sebuah kilang memproses fucuk dekat sini, diarah tutup selama dua minggu berikutan keadaan premis yang kotor, meloyakan dan menjijikkan selain terdapat najis tikus di ruang pemprosesan makanan.
Pegawai Kesihatan Persekitaran Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang Mohd Wazir Khalid berkata keadaan kilang tersebut disifatkan sebagai tidak layak beroperasi dan perlu menghentikan segala kerja memproses makanan dengan kadar segera.
"Boleh dikatakan keadaan kilang fucuk ini sangat kotor dan membimbangkan...boleh dikatakan 200 peratus kotor dan tidak layak beroperasi memandangkan tahap kebersihan premis tidak menepati standard kebersihan dan keselamatan makanan yang ditetapkan," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas Op Bersih yang dilaksanakan di kilang terbabit di sini, hari ini.
Beliau berkata kilang tersebut didapati tidak memiliki lesen perniagaan yang sah dan dipercayai beroperasi melebihi 10 tahun dan dikenakan kompaun kira-kira RM5,500.
"Kementerian Kesihatan (KKM) telah keluarkan tiga kompaun kira-kira RM5,500 berdasarkan kesalahan tiada pelabelan makanan, tidak berdaftar bawah KKM dan beroperasi tanpa kebenaran manakala notis dikeluarkan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) yang turut serta dalam operasi ini iaitu berniaga tanpa lesen bernilai RM500.
"Arahan penutupan premis adalah di bawah Notis Perintah Penutupan Premis di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 berkuat kuasa hari ini," katanya sambil menambah, kilang memproses fucuk tersebut sebelum ini pernah diarahkan menutup operasi atas kesalahan sama kira-kira tiga tahun lepas.
Beliau berkata antara kesalahan lain yang dilakukan adalah terdapat seorang pekerja kilang itu yang merupakan warga Myanmar tidak menerima suntikan tifoid selain tidak memakai kelengkapan yang sesuai semasa mengendalikan makanan di samping terdapat binatang peliharaan seperti anjing berada di dalam premis berkenaan yang sememangnya tidak mematuhi prosedur ditetapkan.
"Sebab utama penutupan ini juga adalah disebabkan ada najis tikus, lalat dan lipas sebab berkait dengan keracunan makanan yang boleh menyebabkan pencemaran sama ada bakteria dan fizikal...jadi perlu tutup sebelum berlakunya kes keracunan makanan," katanya sambil menambah produk fucuk tersebut dipercayai akan dipasarkan ke negeri di selatan tanah air.
-- BERNAMA