Kilang disyaki sorok 180 tan metrik beras tempatan disita

Bernama
Oktober 10, 2023 15:02 MYT
Beras terbabit disorok di gudang yang tidak dinyatakan dalam lesen. - Gambar/ FB Chan Foong Hin
ALOR SETAR: Sebuah kilang beras di Kedah disita, selepas disyaki menyorok beras putih tempatan berjumlah 180 tan metrik dianggarkan bernilai RM405,000, menerusi Operasi Beras Putih Tempatan (OP BPT) yang dijalankan semalam.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Chan Foong Hin berkata pemeriksaan ke atas kilang itu mendapati, beras bergred Super Spesial Tempatan 5% (SST5) atau beras putih tempatan (BPT) di dalam kampit jumbo berjumlah 180 tan metrik, disorok di gudang yang tidak dinyatakan dalam lesen.
"Buat masa ini lokasi dan nama syarikat kilang itu tidak boleh didedahkan, supaya tidak mengganggu kes yang masih dalam siasatan...ini merupakan sitaan pertama di bawah OP BPT.
"Cuma saya dimaklumkan, pihak Kawalselia Padi dan Beras (KPB) melakukan operasi seperti biasa setiap masa. Pada hari Sabtu yang lalu KPB juga ada melakukan operasi dan menyita beras di sebuah kilang di sini," katanya kepada pemberita selepas menyertai operasi pemantauan ke atas sebuah kilang beras di sini hari ini.
Chan berkata kes itu sedang disiasat di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522) dan Peraturan-Peraturan Kawalan Padi dan Beras (Pelesenan Kilang-Kilang Padi) 1996.
Beliau turut memberi amaran kepada pihak yang berkenaan, supaya mematuhi undang-undang yang ditetapkan dan menegaskan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) serta anggota-anggota pasukan petugas, akan bertindak tegas terhadap mereka yang didapati melanggar peraturan sedia ada.
Chan berkata setakat ini, pasukan petugas OP BPT telah melakukan pemeriksaan ke atas lapan pemborong dan enam pengilang beras di Kedah, bagi mengesan sebarang kegiatan menyorok beras, menukar kampit dan mencampurkan beras putih tempatan dan beras putih import.
Sementara itu, mengulas mengenai gesaan petani di negeri ini agar harga belian padi oleh pengilang dinaikkan, Chan berkata kementeriannya memahami masalah yang dihadapi pesawah dan sentiasa berusaha mencari jalan penyelesaian terhadap isu itu.
Namun, beliau menegaskan sebarang penyelarasan terhadap harga belian padi, perlu seiring dengan harga runcit yang dikenakan terhadap pengguna, bagi mengelakkan kerugian kepada pihak pemborong dan pengilang.
Mengulas mengenai cadangan sesetengah pihak agar kadar Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) dinaikkan, Chan berkata kerajaan baharu sahaja menaikkannya daripada RM360 per tan metrik kepada RM500 per tan metrik pada Ogos lalu.
"Jadi saya rasa dalam dalam masa terdekat ini untuk naikkan lagi bukan sesuatu yang senang, jadi kita akan melihat daripada sudut yang lain untuk memuaskan hati semua pihak dan pihak berkepentingan dalam industri ini," katanya.
-- BERNAMA
#bekalan beras #kilang disita #sorok beras #Kedah
;