Kilang biskut guna logo halal tidak sah kena serbu

Aida Aziz
Jun 21, 2024 18:10 MYT
KPDN mendapati kilang terbabit menggunakan logo halal pada bungkusan produk biskut yang dikeluarkan bagi edaran jualan sekitar utara Semenanjung Malaysia. - Gambar/ KPDN
TAIPING: Sebuah kilang memproses biskut di sini, diserbu pada Khamis kerana menggunakan logo halal tidak sah bagi tujuan perdagangan.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan itu dilakukan sekitar 10 pagi oleh penguat kuasa KPDN Taiping.
Katanya, serbuan mendapati kilang terbabit telah menggunakan logo halal pada bungkusan produk biskut yang dikeluarkan bagi edaran jualan sekitar utara Semenanjung Malaysia.
"Sehubungan itu, satu tindakan kes telah diambil di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 dan bertindak menyita biskut yang menggunakan logo halal yang tidak sah.
"Nilai keseluruhan barang rampasan adalah dianggarkan berjumlah RM3,169.60.
"Kes disiasat di bawah Perintah 8(a),Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 iaitu kesalahan memperaku mana-mana makanan itu adalah halal," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Dalam pada itu, Kamalludin berkata, satu tindakan kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 turut diambil ke atas premis sama kerana gagal mengemukakan permit berkaitan penyimpanan barang kawalan setelah diarah berbuat demikian.
"Pegawai KPDN Taiping mengambil tindakan dengan menyita kesemua barang kawalan tersebut yang juga merupakan barang berjadual iaitu 323 kilogram (kg) minyak masak, 900 kg gula pasir putih bertapis dan 550 kg tepung gandum berserta beberapa dokumen berkaitan.
"Kesemua barang rampasan dianggarkan berjumlah RM 7,061," katanya lagi.
Tegasnya, KPDN memandang serius peniaga yang melakukan kesalahan melibatkan barang kawalan diselia di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Selain peniaga yang menggunakan perakuan dan penandaan halal ke atas produk makanan atau barangan keluaran yang melanggar undang-undang mengikut Akta Perihal Dagangan 2011.
#kilang biskut #logo halal #tidak sah #kpdn
;