Kilang besi di Gong Badak musnah 80 peratus dalam kebakaran

Bernama
September 13, 2021 06:29 MYT
Sebaik pihak bomba tiba di lokasi, kilang tersebut telah terbakar 80 peratus dan anggota bomba mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengawal api. - Foto Bomba/BERNAMA
KUALA NERUS: Sebuah kilang pembuatan besi di kawasan perindustrian Gong Badak di sini musnah kira-kira 80 peratus dalam kebakaran petang semalam, dengan nilai kerugian dianggarkan RM8 juta.
Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai Bomba Terengganu Mohd Mazimi Mohamad berkata sejurus menerima panggilan pada 3.19 petang, seramai 45 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerus dan Kuala Terengganu bersama lima jentera bergegas ke lokasi kejadian.
"Sebaik pihak bomba tiba di lokasi, kilang tersebut telah terbakar 80 peratus. Anggota bomba mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengawal api.
"Terdapat banyak bahan mudah terbakar di dalam kilang tersebut yang menyukarkan proses pemadaman api," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di sini.
Bagaimanapun, katanya kesemua lapan pekerja sempat keluar menyelamatkan diri.
Sementara itu, penyelia kilang Bryan Ng berkata ketika kejadian seorang pekerja sedang menjalankan kerja-kerja pengimpalan besi sebelum berlaku percikan api yang dikatakan menjadi punca kebakaran.
"Pada mulanya kami cuba padam api tetapi api sangat marak dan menjulang hingga ke bumbung," katanya sambil memaklumkan kilang tersebut telah beroperasi sejak 31 tahun lepas.
-- BERNAMA
#Kilang Besi #kebakaran #kawasan perindustrian Gong Badak #kerja-kerja pengimpalan besi
;