Kilang bantal musnah dijilat api
Dewi Nur Harasha Alias
Julai 18, 2021 22:54 MYT
Julai 18, 2021 22:54 MYT
TASEK GELUGOR: Sebuah kilang membuat bantal di Jalan Kubang Menerong di Tasek Gelugor, musnah di jilat api dalam kebakaran malam ini.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran tersebut pada jam 7.07 malam.
Sebaik tiba di lokasi, anggota bomba mendapati kebakaran melibatkan mesin dan bahan mentah iaitu kain dan kekabu, menyebabkan api merebak dengan cepat.
"Tiada mangsa terlibat, namun kebakaran telah memusnahkan hampir 70 peratus bangunan kilang tersebut.
"Pihak bomba dapat mengawal kebakaran dari merebak ke kawasan sekitar. Setakat ini usaha memadam kebakaran masih berjalan dan punca kebakaran masih dalam siasatan." katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Tiga jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tasek Gelugor, BBP Kepala Batas dan BBP Bertam terlibat dalam operasi pemadaman tersebut.