Kiky tidak terkesan dengan apa yang berlaku kepada Najib

Sinar Harian
Mei 20, 2018 08:39 MYT
Satu-satunya penghuni yang kelihatan kurang terkejut dengan apa yang sedang berlaku ialah kucing Parsi kesayangan keluarga Najib yang dinamakan Kiky. -Foto Sinar Harian
Sejak kediaman bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi perhatian, mungkin hanya salah satu penghuninya yang digelar Kiky kurang merasai tekanan.
Meninjau ke dalam kediaman itu, Malay Mail melaporkan, rumah itu dipenuhi dengan kotak dan bagasi yang kelihatannya di bawa dari Seri Perdana, kediaman rasmi perdana menteri di Putrajaya.
Kotak-kotak itu tersusun rapi hampir mencecah siling manakala pembantu rumahnya pula sibuk melayani tetamu yang tidak putus-putus berkunjung untuk melawat tuan rumahnya itu.
Namun, satu-satunya penghuni yang kelihatan kurang terkejut dengan apa yang sedang berlaku ialah kucing Parsi kesayangan keluarga Najib yang dinamakan Kiky.
Dengan mengabaikan kehadiran orang ramai, Kiky terus berjalan ke arah Najib sambil mengesel-geselkan tubuhnya.
Sambil ketawa Najib berkata, Kiky adalah kucing paling pemalas dalam dunia.
Ketika menjawat jawatan sebagai perdana menteri, Najib sering kali berkongsi kemanjaan Kiky di media sosial malah kucingnya itu merupakan antara kucing popular dalam kalangan peminat kucing.
Pada 2010, Najib mengalu-alukan cadangan nama bagi kucingnya itu menerusi sebuah laman blog.
Kini, Kiky bakal mendapat perhatian penuh dari tuannya.
#bekas perdana menteri #kemanjaan Kiky #kiky #kucing #kucing paling pemalas #kucing popular #Najib Razak
;